Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan,
Saya ingin bertanya beberapa soalan tentang merancang kehamilan.
1) Apakah hukum merancang kehamilan, kerana saya (suami) sudah merancang tidak lagi mahu isteri melahirkan anak kerana untuk menjaga kesihatan isteri, lagi pun kami sudah dikurniakan lima anak dan sekarang isteri sedang mengandung anak keenam dan selepas selesai isteri bersalin nanti, kami mahu merancang kehamilan.
2) Syarat-syarat yang dibenarkan untuk merancang kehamilan.
3) Cara-cara merancang kehamilan yang di bolehkan atau halal mengikut syarak.
Sekian terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Merancang kehamilan dibolehkan dalam Islam sekiranya ia berasaskan alasan yang munasabah dan tidak bertentangan dengan syarak. Jika tujuan utama adalah untuk menjaga kesihatan isteri kerana telah mendapatkan saranan daripada doktor, maka ia dibenarkan kerana Islam menitikberatkan kesejahteraan keluarga. Namun, merancang kehamilan secara mutlak hingga menolak zuriat selamanya (sterilisasi kekal) tanpa keperluan syar’ie adalah dilarang kerana bertentangan dengan konsep perkahwinan dalam Islam.
Merancang kehamilan harus memenuhi syarat berikut: (1) bukan bertujuan menolak zuriat secara mutlak, sebaliknya untuk menjarakkan kehamilan atas sebab yang dibenarkan seperti faktor kesihatan; (2) tidak membawa kemudaratan kepada suami atau isteri; (3) tidak melibatkan kaedah yang bertentangan dengan Islam; dan (4) dilakukan dengan persetujuan bersama suami isteri kerana hak memiliki zuriat adalah hak bersama.
Adapun berkenaan kaedah merancang kehamilan yang dibenarkan adalah seperti azl iaitu pancutan luar dengan persetujuan isteri, penggunaan alat perancang kehamilan sementara seperti pil, suntikan, IUD, dan implan selagi tidak memudaratkan kesihatan serta kaedah semula jadi seperti pengiraan waktu subur dan penggunaan kondom yang tidak mengandungi bahan haram. Walau bagaimanapun, kaedah yang menyebabkan kemandulan kekal seperti pemandulan tanpa sebab darurat adalah haram kecuali jika kehamilan boleh mendatangkan mudarat serius kepada ibu.
Sekian, terima kasih.