Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Saya bakal bernikah pada 1/6/2025. Saya ada masalah wali.
Ayah saya masih hidup tetapi beliau berada di negara jiran bersama keluarga barunya. Saya tidak dapat contact beliau tetapi adik ayah saya dapat berhubung dengan isteri barunya namun, isterinya tidak mahu memberi kerjasama.
Saya mempunyai adik beradik lelaki seibu sebapa. Apakah boleh jika adik beradik lelaki saya menjadi wali?
Saya ada baca jikalau kes seperti saya selalunya perlu wali hakim/raja. Tetapi keluarga pihak lelaki tidak mahu wali hakim kerana perlu akad nikah di pejabat agama dan perlu ikut tarikh yang ditentukan. Pihak lelaki telah membuat persiapan semuanya.
Jika perlu wali hakim, bagaimanakah prosesnya? Adakah lama prosesnya?
Kalau perlu wali wakil (wakalah wali), boleh ke saya membuat video call bersama pejabat agama dan wali saya (bapa - saya akan pergi ke negara tersebut dan dapatkan sign ayah saya) dan tidak perlu membawa wali ke pejabat agama?
Mohon pencerahan ye. Saya dah buntu sangat sangat ni. Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan saudari :
1. Untuk makluman saudari, setiap negeri mempunyai enakmen atau undang-undang atau peraturan masing-masing dalam menguruskan hal ehwal perkahwinan bagi orang Islam. Enakmen atau peraturan ini mungkin ada sedikit sebanyak perbezaan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Oleh yang demikian, untuk memastikan maklumat yang saudari ingin dapatkan ini lebih tepat dan yang berkuatkuasa dengan negeri di mana saudari tinggal atau bermastautin, maka saudari boleh berhubung dengan Pejabat Agama Islam atau Jabatan Agama Islam yang berhampiran dengan tempat tinggal saudari.
Walaubagaimanapun secara asasnya :
a) Selagi wali mujbir iaitu bapa atau datuk masih hidup dan sempurna syarat sebagai wali, maka mereka tetap berhak untuk menjadi wali kepada anak-anak perempuan atau cucu-cucu perempuannya. Perwalian tidak boleh berpindah kepada wali yang lain selain mereka.
b) Sekiranya wali bapa tidak dapat dihubungi atau ghaib yakni tidak dapat dikesan atau wali bapa enggan menjadi wali, maka perwalian nikah akan berpindah kepada wali hakim/raja. Prosesnya, pengantin perempuan boleh memfailkan permohonan wali hakim/raja ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah akan memanggil pihak-pihak atau saksi-saksi untuk memberi keterangan dan penjelasan kenapa permohonan itu dibuat. Tempoh masa perbicaraan pula adalah bergantung kepada kerjasama pihak-pihak dan urusan-urusan mahkamah. Sekiranya mahkamah meluluskan permohonan wali hakim/raja, pengantin perempuan boleh bernikah menggunakan wali hakim/raja (Pegawai di Jabatan Agama Islam/Pejabat Agama Islam Daerah) di mana-mana lokasi yang pihak pengantin tetapkan dan mengikut masa yang pasangan tetapkan.
2. Berkaitan proses wakalah wali samada boleh atau tidak melalui video call, perkara ini saudari boleh merujuk kepada mana-mana Pejabat Agama Islam yang berdekatan dengan tempat tinggal saudari kerana ia di luar bidang kuasa kami.
Sekian, terima kasih.