Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
PER: PERTANYAAN BERKAITAN QADA SOLAT
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Saya ada beberapa persoalan berkaitan qada solat.
1. Apakah tertib dalam qada solat? Adakah kita perlu qada solat baru solat fardu atau solat fardu terlebih dahulu kemudian baru qada solat?
2. Apakah waktu terbaik untuk kita qada solat?
3. Adakah ada bilangan maksimum rakaat/solat untuk 1 hari bagi mengqadakan solat?
4. Bagaimana jika kita tidak ingat bilangan solat yang pernah kita tinggal (secara sengaja/tidak) sejak akil baligh? Bagaimana untuk kita memastikan hutang solat kita telah dilunaskan semuanya?
5. Bolehkah kita mengqadakan solat untuk ibu/bapa yang telah meninggal dunia?
Jawapan
1. Apakah tertib dalam qada solat? Adakah kita perlu qada solat baru solat fardu atau solat fardu terlebih dahulu kemudian baru qada solat?
Kewajipan mengqada solat bagi solat yang ditinggalkan dengan sengaja atau tidak perlu dilakukan dengan segera pada bila-bila masa. Disarankan untuk mengerjakan solat fardu tunai dahulu kemudian solat qada.
2. Apakah waktu terbaik untuk kita qada solat?
Apa-apa solat fardu yang perlu diqada' boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, sama ada waktu itu ditegah (waktu yang dilarang mendirikan solat) daripada melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa.
3. Adakah ada bilangan maksimum rakaat/solat untuk 1 hari bagi mengqadakan solat?
Bilangan rakaat bagi setiap waktu adalah sama seperti rakaat solat fardu. Manakala bilangan solat qada dalam satu hari tiada jumlah maksimum.
4. Bagaimana jika kita tidak ingat bilangan solat yang pernah kita tinggal (secara sengaja/tidak) sejak akil baligh? Bagaimana untuk kita memastikan hutang solat kita telah dilunaskan semuanya?
Sekiranya tidak diketahui secara pasti jumlah sebenar waktu solat yang ditinggal maka lakukanlah qada’ solat sebanyak yang termampu dilakukan berdasarkan kepada sangkaan yang berat jumlah waktu solat yang telah ditinggalkan.
5. Bolehkah kita mengqadakan solat untuk ibu/bapa yang telah meninggal dunia?
Jumhur fuqaha’ Syafi’iyah menyatakan bahawa solat yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia, tidak boleh diqada’ oleh orang lain sama ada oleh anak dan sesiapa saja dan tidak perlu dibayarkan fidyah ke atasnya. Ini bermakna solat si mati yang luput tidak boleh diganti oleh orang lain atau dibayar fidyah.
Sekian, terima kasih.