Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan 1
Sewaktu saya kencing saya terlihat cecair yang bergabung seperti tali berwarna putih di dalam kencing, persoalan saya adakah saya perlu mandi wajib jika saya tidak tahu apakah cecair itu.
Soalan 2
Saya sengaja membuka mulut zakar, dan saya menampak cecair putih di dalamnya dan saya bau tetapi saya tidak bau apa-apa, jadi adakah itu air mani?
Jawapan
Air mazi ialah air yang berwarna putih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Mazi lelaki dan wanita adalah sama, wanita keluar mazi apabila bangkit syahwatnya. Tidak wajib mandi dengan sebab keluar mazi, iaitu air yang keluar disebabkan syahwat yang paling rendah (mani adalah air kemuncak syahwat). Mazi mempunyai sifat-sifat air mani seperti yang disebutkan berdasarkan hadis riwayat Saidina Ali Karramallahu Wajhah di mana beliau berkata:
كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ - فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ
Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Jika kamu mencurahkan air (mani) maka hendaklah kamu mandi.”
Adapun air wadi iaitu air yang keruh dan pekat yang hampir menyerupai mani dari sudut kepekatannya dan tidak sama seperti mani dari sudut kekeruhan warnanya, tidak mempunyai warna dan keluar selepas kencing dan ketika mengangkat sesuatu yang berat. Wadi keluar sebanyak satu atau dua titisan, tidak wajib mandi dengan sebab keluarnya kerana tiada sebab dari sudut syarak yang mewajibkan mandi kerana yang diwajibkan mandi ialah keluar mani sahaja.
Merujuk kepada persoalan tuan,
1) Jika tidak dapat dipastikan cecair yang keluar melalui kemaluan itu samada air mazi atau wadi, maka jika keluar salah satu cecair tersebut ia tetap bernajis dan perlu dibasuh. Namun tidak sampai kepada tahap perlu mandi wajib. Apa yang perlu dilakukan hanyalah dengan membasuh sahaja kemaluan tersebut sehingga bersih sudah memadai.
2) Tidak perlu sampai membuka mulut zakar bagi memastikan apa yang terdapat di dalamnya. Cukup sekadar dilihat secara zahir pada apa yang keluar dari kemaluan sahaja sudah memadai.
Sekian, terima kasih.