Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Dato Sri, Tuan/Puan
1) Saya mengalami masalah was was atau dalam bahasa medic OCD tentang najis dan ibadah. Saya jika mulakan solat saya selalu takut sebab mudah terasa macam terkentut dan kadang-kadang betul-betul terkentut. Jadi macam mana saya nak solat ya? Kadang-kadang saya sampai mengulangi wuduk berulang kali. Selain itu saya sering rasa macam terkincit (air kencing) jadi bila saya tengok tiada kesan pada seluar dalam saya. Jadi macam mana saya nak menyelesaikan masalah ini? Kadang-kadang selepas saya selesai wuduk perasaan datang mengatakan saya ada tertinggal rukun wuduk sebagai contoh terlupa basuh tangan kiri. Jika saya ulang saya takut menuruti hasutan iblis dan syaitan, jadi bagaimana jalan penyelesaian ya?
2) Apa bila saya solat saya sering was was sudah rukuk atau belum, sudah sujud dua kali atau belum, rakaat 3 atau rakaat 4 sehingga saya terpaksa rakam menggunakan handset semasa solat untuk melegakan hati saya kerana saya takut solat saya tidak sah. Jadi nya ada jalan penyelesaian untuk masalah yang saya alami ini.
3) Apabila saya masuk tandas untuk buang air kecil atau air besar selepas itu saya tidak yakin untuk gunakan pakaian itu untuk solat, risau terkena najis atau percikan air-air yang saya basuh kemaluan depan dan belakang. Adakalanya saya mandi selepas buang air kecil. Mohon bantu untuk saya keluar dari masalah yang saya alami ini.
Tqvm
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, penyakit was-was adalah datangnya daripada gangguan syaitan yang direjam. Antara bentuk gangguannya adalah dengan mencampakkan perasaan was-was kepada manusia itu sendiri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah An-Nas ayat ke-5:
Maksudnya: Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.
Di dalam kitab Talbis Iblis pula, Ibnu al-Jauzi berkata syaitan menjalankan tipu daya pada manusia ketika solat antaranya dengan cara mengganggu seseorang ketika sedang berniat untuk solat. Sebahagian mereka melafazkan usolli.. kemudian lalu mengulanginya kerana menyangka niatnya adalah batal sedangkan niatnya tidak batal. Sebahagian yang lain mengangkat takbir kemudian membatalkan lalu mengulang-ulanginya semula maka apabila imam rukuk barulah orang yang was-was itu mengangkat takbir lalu rukuk bersama imam. Hal ini tidaklah melainkan kerana iblis mahu menghilangkan kelebihan (fadilat takbir bersama imam) bagi orang yang was-was itu.
Maka bagi individu yang mengalami masalah was-was dalam ibadah perlu mencari penyelesaian berdasarkan panduan yang telah digariskan oleh para ulama', antaranya:
Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri tuan yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri tuan pada masa akan datang. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah SWT tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah SWT. Untuk itu, perbanyakkanlah Istighfar kepada Allah SWT, mudah-mudahan penyakit ini akan beransur pulih dengan izin-Nya.
Sekian, terima kasih.