Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera Tuan yang dihormatoi. Saya ingin bertanya soalan:
Apabila seseorang ingin mengganti atau mengqadha puasanya yang batal pada bulan Ramadhan yang lepas, adakah sah puasanya sekiranya individu tersebut cuma berniat seperti ini; "Aku nak puasa esok sebab nak ganti/qadha puasa" atau "Esok aku nak puasa ganti lah." Apakah niat seperti ini sah atau niat sah untuk qadha puasa adalah seperti ini; “Sahaja aku berpuasa pada esok hari kerana menggantikan daripada fardhu Ramadhan kerana Allah Taala”.
Saya bertanya soalan ini kerana saya sering berniat seperti yang disebutkan di awal, kerana saya diajar bahawa kalau saya memang ada niat untuk berpuasa pada keesokkan harinya, meskipun tidak melafazkan atau berniat seperti di ayat yang ditebalkan di atas, puasa itu tetap dikira sah. Tetapi apabila saya mencari-cari maklumat di internet baru-baru ini, rupanya ada niat khusus untuk mengqadha puasa. Jadi apakah puasa ganti saya selama ini tidak sah? Mohon pencerahan dari pihak Tuan, terima kasih.
Jawapan
Tuntutan niat merujuk kepada berniat di dalam hati. Niat seseorang itu adalah sah apabila dia sudah meletakkan azam di dalam hati dan fikirannya tentang hakikat puasa tersebut, maka niatnya tersebut adalah sah. Syeikh Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani dalam kitab Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja menyebut:
Maksudnya: (Rukun puasa) pertama: Berniat di waktu malam pada setiap hari bagi puasa yang fardu. Tempat niat ialah di dalam hati. Oleh itu, hendaklah didatangkan dalam fikiran hakikat puasa tersebut iaitu perbuatan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari serta melakukan kewajipan yang mana ia sebahagian daripada amalan bulan Ramadan, kemudian berniat bahawa dia akan melakukan perkara yang dibayangkan tersebut
Adapun yang saudari lafazkan itu disebut sebagai lafaz niat. Ia sunat kerana membantu untuk menghadirkan niat di dalam hati menurut mazhab Shafi'i. Oleh itu puasa saudari adalah sah. Walau bagaimanapun, saudari disarankan untuk berniat secara ta'yiin iaitu menentukan jenis puasa tersebut iaitu puasa ganti Ramadhan.
Sekian, terima kasih.