Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Mohon pencerahan. Di pejabat saya ada beberapa orang pekerja non-muslim dan kadang-kadang mereka akan bawa dan kongsi makanan seperti biskut atau manisan yang mereka buat dirumah atau beli diluar. Soalan saya, sekiranya mereka cakap makanan itu dibuat dengan bahan yang halal (tiada penggunaan khinzir atau alkohol) tetapi sudah pasti mereka masak menggunakan perkakas dapur mereka yang secara am kita tahu sudah pasti terdedah dengan benda yang haram seperti khinzir terutamanya, adakah saya dan rakan-rakan pejabat lain boleh makan makanan tersebut? dan apakah status makanan itu? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, jika anda berasa yakin atas pemberitahuan bahawa makanan seperti biskut atau manisan tersebut diyakini halal dari segi bahan dan tidak ada bukti kukuh bahawa ia benar dimasak tanpa penggunaan khinzir atau alkohol serta bukan dari perkakas yang belum disamak, maka ia boleh dimakan.
Namun, jika anda berasa was-was terhadap bahan yang digunakan atau ada kepastian bahawa perkakas yang digunakan untuk memasak makanan tersebut juga digunakan untuk memasak khinzir atau menggunakan alkohol serta tidak dibersihkan mengikut hukum syarak, maka lebih baik dielakkan dengan cara penolakan yang baik.
Sekian, terima kasih.