Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
as salam, isteri saya ada ambil perancang, kesannya kitaran haid dia jadi tidak normal, kadang² nak dekat 2 bulan darah haid dia keluar, darah haid yang keluar sangat sedikit dalam 2 titik, persoalan adakah ia dikira haid atau pun istihadah ?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara asasnya darah yang keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid iaitu 15 hari 15 malam menunjukkan berlakunya percampuran antara darah haid dan darah istihadhah. Bagi menentukan perbezaannya, ia boleh dikenal pasti dengan dua kaedah, iaitu:
Kaedah Tamyiz: Iaitu dengan membezakan jenis darah yang keluar sama ada darah kuat atau darah lemah. Darah kuat dianggap sebagai haid manakala darah lemah dianggap sebagai darah istihadhah. Sebagai contoh: Darah kuat iaitu hitam pekat atau merah pekat keluar selama 7 hari (dikira haid) manakala darah merah lemah, coklat atau kekuningan keluar selama 24 hari (dikira istihadhah atau suci). Jika tidak dapat dibezakan darah tersebut maka perlu menggunakan kaedah yang kedua iaitu kaedah adat.
Kaedah adat: Iaitu mengikut adat kebiasaan haidnya sebelum mengambil perancang. Jika kebiasaan haidnya 7 hari dan 24 hari adalah suci, maka darah yang keluar pada bulan seterusnya boleh mengikut adat haid bulan sebelumya. Apabila sudah menentukan perbezaan darah tersebut, maka hendaklah ia mandi wajib dan solat seperti biasa ketika hari suci atau istihadhah.
Adapun jika sepanjang 2 bulan tersebut isteri anda tidak menunaikan solat, maka bilangan hari yang mula kiraan istihadhah tersebut perlu diqada semula solatnya.
Sekian, terima kasih.