Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Persoalan ini berkaitan dengan kitaran haid. Kitaran haid saya alami bulan lepas selama 10 hari. Selepas mandi wajib dalam kira kira seminggu selepas itu keluar balik darah tetapi dia keluar secara terputus putus selama 4 hari. Selama 4 hari itu saya tidak solat tetapi disebabkan kiraan tempoh kitaran tidak mencukupi jadi saya menganggap itu adalah darah istihadah. saya terus solat tetapi tidak mandi wajib. Darah keluar bersama keputihan tetapi tidak berbau, tidak cair seperti ciri ciri kebiasaan darah istihadah.Adakah hari selepas itu apabila saya melakukan puasa ganti dikira tidak sah ? kerana dua tiga hari ini saya menganggap bahawa darah itu adalah darah haid bukan istihadah
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, tempoh maksimum bagi kitaran haid adalah 15 hari 15 malam. Manakala tempoh minimumnya adalah sehari semalam (24 jam). Secara asasnya, darah yang keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid menunjukkan berlakunya percampuran antara darah haid dan darah istihadhah. Bagi menentukan perbezaannya, ia boleh dikenal pasti dengan dua kaedah, iaitu:
Kaedah Tamyiz: Iaitu dengan membezakan jenis darah yang keluar sama ada darah kuat atau darah lemah. Darah kuat dianggap sebagai haid manakala darah lemah dianggap sebagai darah istihadhah. Untuk situasi anda, darah kuat iaitu hitam pekat atau merah pekat keluar selama 10 hari tersebut dikira haid. Adapun darah yang keluar selepas seminggu suci (seperti yang dinyatakan) telah melebihi tempoh maksimum haid. Oleh itu, darah tersebut dikira sebagai istihadhah (suci dan wajib solat) dimana darah istihadhah boleh berlaku sama ada dalam keadaan keluar cairan merah lemah, coklat atau kekuningan. Jika tidak dapat dibezakan darah tersebut maka perlu menggunakan kaedah yang kedua iaitu kaedah adat.
Kaedah adat: Iaitu mengikut adat kebiasaan haid sebelumnya. Jika kebiasaan haid selama 10 hari dan 20 hari adalah suci, maka darah yang keluar pada bulan seterusnya boleh mengikut adat haid bulan sebelumya. Apabila sudah menentukan perbezaan darah tersebut, maka hendaklah ia mandi wajib dan solat seperti biasa ketika hari suci atau istihadhah.
Merujuk persoalan puan, darah yang keluar tersebut telah melepasi tempoh maksimum haid dan ia keluar dalam tempoh suci daripada haid. Maka darah tersebut dianggap sebagai darah istihadhah yang mana dalam tempoh ini wajib untuk solat. Tempoh istihadhah adalah tempoh di mana wanita wajib menunaikan solat dengan mengambil semula wuduk setiap kali ingin menunaikan solat fardu yang berlainan. Solat yang tidak dilaksanakan sepanjang tempoh istihadhah tersebut (4 hari yang bukan dalam tempoh maksimum haid) perlu diqada disebabkan tempoh tersebut adalah tempoh istihadhah.
Sekian, terima kasih.