BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Asalamualaikum. Apakah wang sumbangan kewangan yang dikhususkan dalam tabung sumbangan untuk anak yatim yang disediakan di masjid boleh diberikan kepada anak yatim yang bukan dalam kategori asnaf atau kepada yang berkemampuan tetapi anak yatim. Sebagai contoh, si A anak yatim yang kematian bapa (seorang penjawat awam) dan ibunya masih hidup dan bekerja sebagai penjawat awam juga dengan pendapatan lebih daripada RM3500 ke atas. Si isteri juga menerima pencen suaminya lebih RM2000 sebulan. Adakah anak yatim tadi layak diberikan sumbangan dari Tabung Anak Yatim Masjid. Adakah sumbangan Tabung Anak Yatim hanya kepada anak yatim golongan asnaf atau yang kurang berkemampuan saja. Mohon pencerahan.Terima kasih. Wasalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan gambaran soalan yang dinyatakan, sumbangan yang diberikan kepada Tabung Anak Yatim Masjid adalah harta sedekah dan bukannya zakat. Ini kerana, seseorang yang kematian bapanya atau digelar sebagai anak yatim tidak termasuk dalam kategori asnaf zakat.

Oleh itu, tiada masalah jika diberikan sebahagian sumbangan dari tabung itu kepada anak yatim walaupun si ibunya berkemampuan selagi mana tiada kenyataan yang jelas bahawa si pemberi sumbangan atau tabung sumbangan itu dikhususkan untuk anak yatim dari golongan asnaf atau yang kurang berkemampuan sahaja. Jika disyaratkan begitu, maka ketika itu tidak dibolehkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 20

message user image