Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam Tuan, saya terkencing di katil asrama saya sewaktu tidur. Saya sangat malu untuk membasuhnya kerana takut kawan2 saya mengejek saya. Selepas beberapa hari setelah tilam kering saya cuba basuh kerana kawan saya tiada/keluar. Saya mengalirkan air pada kawasan kencing tersebut akan tetapi air tersebut terlampau banyak sehingga tembus ke bawah tilam sehingga katil yang menampung tilam itu menjadi basah di bahagian kayu (tempat letak katil).
1. Adakah bahagian tempat letak katil (kayu) iu bernajis dan perlu disucikan?
2. Adakah saya perlu membasuh bahagian bawah tilam tersebut?
3. Saya telah menekap tuala pada bahagian atas tilam dan selepas itu saya mendapati sudah tiada bau pada tilam pada cubaan kali pertama, adakah cukup sekali sahaja saya menekap atau saya perlu alirkan air lagi dan menekap lagi sehingga 3kali?
4. Jika tilamm belum kering sepenuhnya adakah saya tidak boleh tidur di atasnya kerana untuk tunggu kering agak lama dan saya risau kawan saya gelakkan saya kencing di atas tilam, jadi saya mengambil sampin dan membentangkannya dia atas tilam lalu baru memasang cadar dalam keadaan tilam belum kering?
Terima kasih tuan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Seperti yang kita maklum, air kencing yang sudah kering tetap dianggap najis dan tempat yang terkena perlu dibasuh dengan air mutlak sehingga hilang sifat-sifat najisnya (warna, bau atau rasa). Air yang mengalir daripada basuhan tilam tersebut merupakan air mutanajjis selagi mana masih terdapat sifat-sifat najis tersebut. Oleh itu, jika bahagian kayu yakni tempat letak tilam terkena air mutanajjis itu tadi, maka ia perlu dialirkan air juga. Namun, jika air itu sudah berubah sifatnya iaitu tidak lagi mempunyai sifat najis dari segi warna, bau atau rasa maka ia dikira tidak bernajis dan tidak perlu dicuci. Memadai dengan hanya sekadar mengelapnya dengan kain basah.
Hal yang sama perlu dilakukan seperti di perkara (1) pada bahagian bawah tilam tersebut.
Perkara yang lebih utama adalah memastikan ain najis benar-benar hilang dan bukan semata-mata bilangan berapa kali sesuatu itu dicuci. Jika dengan sekali aliran air mampu untuk menghilangkan rasa, bau atau warna ain najis, maka ia sudah memadai. Namun jika ain najis masih ada, maka bilangan aliran/basuhan tersebut perlu ditambah sehingga benar-benar bersih.
Adalah tidak menjadi suatu permasalahan untuk tidur di atas tilam yang masih lembab disebabkan selesai basuhan daripada najis dengan syarat perlu yakin bahawa tilam tersebut benar-benar telah suci daripada ain najis sebelum digunakan semula tidak kira sama ada dengan cara melapik tilam tersebut dengan sesuatu atau kain sebagai alas bagi mengelakkan ketidakselesaan.
Sekian, terima kasih.