Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum W.B.T. Saya ingin bertanya, sekiranya selipar saya digigit anjing dan ada air liurnya pada selipar saya, kemudian saya ambil dan basuh dengan air biasa untuk menghilangkan najis, kemudian saya sentuh dengan tangan kering, adakah najis tersebut berpindah ke tangan saya (adakah selipar yang dibasuh itu menyebabkan najis merebak dan menjadikan seluruh bahagian selipar adalah najis?)
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sekiranya selipar yang diyakini terkena air liur anjing dan hanya sekadar dibasuh dengan air paip bagi menghilangkan najis tetapi tidak di sertu, maka selipar tersebut telah pun bersih daripada ain najis tersebut tetapi tidak suci. Sehubungan itu, ia tidak menajiskan tempat-tempat lain dan tangan yang telah memegang selipar tersebut. Najis turut tidak berpindah kepada tangan yang memegang selipar. Adalah disarankan selipar tersebut disertu bagi memastikan ianya suci daripada najis.
Sekian, terima kasih.