Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum .. suami saya telah pun meninggal, saya dan anak-anak umur bawah 21 tahun ada menerima pencen terbitan. Saya ingin bertanya adakah duit pencen atas anak-anak saya itu di kira duit anak yatim dan haram untuk saya guna dalam membesarkan mereka.
mohon pihak jabatan mufti beri penjelasan dan jawapan yang tepat pada saya.
sekian, terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, duit pencen yang diterima oleh anak-anak adalah milik mereka masing-masing. Rujukan berkenaan pencen terbitan: https://www.jpapencen.gov.my/penerima_PT.html
Benar, itu adalah duit anak yatim kerana mereka telah kematian bapa. Bagi anak yatim yang masih kecil (belum baligh) dan tidak tahu menguruskan hartanya, maka ibunya sebagai pemegang amanah boleh menguruskan duit mereka dengan cara yang sebaiknya untuk kegunaan mereka juga. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 5:
Maksudnya : Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
Adalah harus bagi puan menggunakan duit tersebut untuk menyara dan membesarkan mereka dengan sebaik-baiknya, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 220:
Maksudnya: Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya"
Apabila mereka telah baligh (sekitar umur 15 tahun) mereka tidak lagi dinamakan sebagai anak yatim. Mereka boleh mengurus duit mereka dengan pemantauan ibu agar tidak disalah guna, pembaziran dan sebagainya.
Mudah-mudahan dengan didikan dan bimbingan yang baik mereka boleh mengurus sendiri kewangan dan keperluan mereka dengan cara yang bermanfaat.
Sekian, terima kasih