Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Maaf. Entri saya mungkin agak panjang sebab saya perlu terang agak detail.
Saya seorang yang sangat gemar main game. Dan game terbaru yang saya 'interested' adalah game Cult Of the Lamb. Game tersebut adalah game di mana player bermain sebagai seekor kambing biri. Pada permulaan game, kambing itu dikorbankan oleh cult atau pemuja. Setelah kambing itu ke alam roh, satu entiti (saya rasa syaitan) telah menyelamatkannya dan meminta kambing (player) untuk memulakan cult sendiri untuk memuja/menyembahnya. Player membuat agama/cult sendiri. Ini adalah concept asas game itu. Maka dalam game tersebut mempunyai pemujaan, senang kata unsur syirik yang sangat lengkap.
Namun sebab utama saya bermain game tersebut adalah kerana game ini sangat basic, senang dimainkan di peranti yang lemah dan mempunyai unsur asas manusia seperti membuat rumah, mencari makanan, memasak dan sebagainya. Dengan ini, saya ada beberapa soalan.
1. Apakah hukum saya bermain game ini? Walaupun niat saya tidak ada unsur syirik?
2. Jika haram, bagaimana pula dengan game yang saya bermain sebagai character yang menceritakan tentang seseorang, tetapi mempunyai unsur penyembahan? Contohnya, dalam game Plague Tale yang mengkisahkan dua orang kanak kanak yatim yang menyelamatkan diri. Dalam game tersebut ada scene yang saya bermain sebagai kakak character dan membawa adik character ke gereja untuk berdoa. Adakah itu juga hatuh haran? Saya juga mempunya game Sifu di mana saya bermain sebagai orang cina yang berlatih Kung Fu. Dalam game tersebut terdapat penyembahan sebagai upgrade character tersebut. Adakah dua game ini boleh jatuh haram? Ataupun tidak kerana saya hanya bermain sebagai character dalam kisah mereka?
Maaf kerana pertanyaan saya yang sangat panjang. Terima kasih.
Jawapan
Hukum asal bagi bermain video game adalah harus. Walaupun begitu, bagi permainan yang mempunyai unsur syirik seperti sihir, dewa dan lain-lain unsur syirik adalah dilarang. Hal ini bertepatan dengan kaedah "sesuatu yang boleh membawa kepada haram maka ia adalah haram". Bahkan permainan video game tidak mempunyai unsur maslahah (kebaikan) kepada agama. Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Tidak diharuskan bermain game sebegini walaupun tiada niat mensyirikkan Allah. Ini kerana dengan bermain game ini seolah-olah reda dengan upacara dan kepercayaan yang ada dalam game tersebut.
2. Turut tidak diharuskan seperti yang telah dijelaskan.
Berikut merupakan garis panduan penentuan hukum sesuatu hiburan seperti permainan game sebagaimana yang digariskan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji:
- Makruh: Sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia kerana menghabiskan masa melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
- Haram: Sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang buruk atau diharamkan syara’.
- Dibenarkan dan digalakkan: Sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat. Seperti pertandingan memanah dan permainan yang berfaedah untuk peperangan.
Sekian, terima kasih.