BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya seorang wanita dan kerap mendapati ada basahan pada seluar dalam. Saya tidak pasti sama ada ia air kencing, kelembapan, atau peluh kerana saya juga mudah berpeluh. Saya tidak rasa ia adalah wadi, mani, atau mazi. Ia tidak berwarna, seperti air, dan tidak berbau. Kadang-kadang ia datang dengan rasa seperti sedang membuang air kecil, dan kadang-kadang saya tidak rasa apa-apa.

 

Soalan saya:

1. Adakah saya perlu menukar seluar dalam dan seluar untuk menunaikan solat jika ini berlaku?

2. Adakah basahan ini dikira sebagai najis?

3. Jika tiada kesan pada kerusi yang saya duduk atau saya tidak pernah periksa sebelum ini, adakah ia kerusi itu dikira najis?

4. Perlukah saya risau tentang perkara ini?

5. Jika ia berlaku terlalu kerap, adakah saya perlu menukar seluar dalam dan seluar setiap kali? Sebab memakai pantyliner terlalu kerap tidak digalakkan dan tidak sihat.

 

Mohon penjelasan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Perlu dikenal pasti terlebih dahulu punca kebasahan tersebut. Sekiranya ia tidak memiliki ciri-ciri keputihan, wadi atau mazi, berkemungkinan ia hanyalah lembapan faraj ataupun peluh yang tidak dikira sebagai najis. Namun, sekiranya terdapat rasa ia mengalir seperti air kencing, boleh jadi ia adalah kencing tidak lawas dan dikira sebagai najis. Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Jika ia merupakan kencing tidak lawas, maka dikategorikan sebagai daim al-hadas. Bagi keadaan sebegini, pesakit perlu merujuk kaedah berikut dalam pelaksanaan ibadah solat iaitu:

  1. Pastikan telah masuk waktu solat.
  2. Sucikan najis pada kemaluan dan pakaian jika ada.
  3. Tutup lubang kemaluan dengan kapas, lampin atau cebisan kain.
  4. Berwuduk dan solat dengan segera.
    • Membasuh muka beserta berniat: “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan fardhu solat kerana Allah Ta’ala”.
    • Sempurnakan wuduk seperti biasa.
    • Sekiranya kencing masih keluar ketika berwuduk atau solat, maka ia dimaafkan kerana masyaqqah (kesukaran).
    • Solat sah dan tidak perlu diqada.   
    • Wuduk ini hanya sah bagi satu solat fardhu dan seberapa banyak solat dan amalan sunat yang lain.

2. Berdasarkan penjelasan yang dikemukakan iaitu "ia datang dengan rasa seperti sedang membuang air kecil", maka difahami bahawa ia adalah air kencing yang dikira najis.

3. Jika tiada kesan kenajisan dari sudut bau, warna dan rasa maka tidak perlu dibersihkan. Namun, selepas ini perlu memakai penahan seperti pad/ pantyliner agar ia tidak merebak ke kawasan lain. 

4. Islam amat menitikberatkan kebersihan. Justeru bagi tujuan ibadah, perkara ini perlu diberi perhatian agar ibadah yang dilaksanakan sah. Manakala, dari sudut kesihatan, perlu membuat pemeriksaan dengan doktor untuk mengetahui masalah yang dihidapi dan mencari jalan penyelesaian untuk memulihkannya.

5. Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, setiap kali hendak menunaikan solat fardhu, melaksanakan kaedah bersuci pada perkara 1 di atas.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 20

message user image