Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualiakum,Saya dulu pernah labur di satu platform exchanger kripto sebanyak 500 ringgit dan menukarnya menjadi satu jenis kripto untuk membuat simpanan dan mendapat dividen harian. Ade satu masa syarikat exchanger tersebut mengalami masalah technical kerana aplikasi exchanger tersebut telah digodam,selepas itu syarikat tidak terus membayar duit yang telah hilang sekaligus,tapi syarikat tersebut menukar jenis kripto tersebut kepada satu token dan sehingga kini saya harus menukar token tersebut menjadi jenis kripto untuk dijual dan mendapat modal saya sahaja.Saya tidak ambil keuntungan daripada platform tersebut kerana ia tidak berdaftar di bawah SC Malaysia dan jenis kripto agak meragukan.Soalannya adakah boleh saya jual kripto tersebut hanya untuk ambik balik modal tanpa sebarang keuntungan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, penjualan kripto tersebut adalah harus jika ia memenuhi syarat yang telah ditetapkan seperti dalam fatwa yang dikeluarkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-4/2021 yang memutuskan bahawa harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang kripto sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:
a) Urus niaga melibatkan mata wang kripto hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;
b) Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:
i. jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang kripto;
ii. perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang kripto dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;
iii. peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang kripto berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan
iv. undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang kripto.
c) Sebagaimana mata wang yang lain, mata wang kripto hendaklah tidak digunakan sebagai bayaran kepada barangan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh Syariah seperti pembelian dadah, pelacuran, perjudian dan pendanaan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram.
Jadi, jika penjualan tersebut tidak memenuhi syarat-syarat di atas, adalah sebaiknya dielakkan dan menukar kepada platform pertukaran wang kripto berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti.
Sekian, terima kasih.