BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya apakah hukum jika pemilik saloon rambut muslimah post gambar customer freehair untuk menunjukkan hasil kerjanya kepada khalayak ramai dgn tujuan untuk mempromosikan saloonnya sedangkan customer tersebut memakai tudung, pemilik berkenaan hanya meminta izin untuk mengambil gambar/video hasil kerja yang dibuat, namun tidak meminta izin untuk post di sosial media seperti status whatsapp, facebook, tiktok dan sebagainya. Semasa pemilik saloon menangkap gambar, hanya nampak rambut customer dan muka customer tidak kelihatan. Customer tersebut ingin menegur tetapi tidak sampai hati dikhuatiri berlakunya pergaduhan kerana mempunyai pertalian yang rapat. Semoga mendapat penjelasan lanjut daripada pihak tuan/puan dan semoga tuan/puan sentiasa dalam rahmat Allah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Setiap muslim perlu berusaha menjaga auratnya sebaik mungkin dan tidak boleh mengambil mudah akan perihal aurat sehingga menjadi tontonan golongan ajnabi. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nur ayat 30-31:

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِينَ يَغُضُّواْ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِمۡ وَيَحۡفَظُواْ فُرُوجَهُمۡۚ ذَٰلِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا يَصۡنَعُونَ (٣٠) وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

Dalam Islam, aurat wanita di hadapan bukan mahram adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tangan (mengikut mazhab Syafii). Oleh itu, menyebarkan gambar rambut wanita tanpa izin adalah tidak dibenarkan kerana perbuatan tersebut  melanggar hak privasi seseorang, terutama bagi wanita yang berhijab yang tidak mahu auratnya dipertontonkan dalam pelbagai medium. Perlu diingatkan bahawa perbuatan tersebut berpotensi membawa fitnah dan membuka ruang kepada dosa (dilihat oleh bukan mahram).

Dalam kaedah fiqh:"Dar’ al-mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih"
(Mencegah keburukan lebih utama daripada mengambil manfaat).

Meskipun niat pemilik salon untuk promosi perniagaannya, ia tetap tidak boleh mengorbankan hak dan maruah pelanggan. Justeru,  membuka aurat tanpa sebarang tujuan darurat adalah haram sama ada aurat diri sendiri atau aurat orang lain, apatah lagi mendedahkan aurat seseorang tanpa kerelaannya.

Puan disarankan menegur secara hikmah dan beradab, dengan menjelaskan batasan yang diinginkan dalam berkongsi gambar. Jika hubungan rapat menjadi kebimbangan, boleh disampaikan secara lembut atau melalui pihak ketiga yang lebih dihormati. Menjaga aurat adalah satu kewajipan dan ianya perlu dipelihara.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 22

message user image