BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Kepada semua Panel yang membaca email saya. Semoga dirahmati oleh Allah S.W.T

Saya ingin bertanya status harta pusaka dan hak faraid untuk anak OKU yang terdiri daripada, down syndrome, Autisme, AHDH dan mana-mana kategori yang diklasifasi sebagai anak OKU.

1)Adakah anak-anak OKU dari mana-mana kategori layak menerima pusaka dari ibu bapa mereka?

2)Jika ada ibu bapa yang membuka akaun bersama dengan anak tersebut (bukan bantuan bulanan, hanya sebagai simpanan bersama) dan jika ibu bapa anak OKU ini telah meninggal dunia, adakah duit simpanan anak OKU ini dikira faraid disebabkan penama akaun adalah salah seorang ibu bapa?

3)Jika bantuan bulanan yang di terima setiap bulan oleh anak OKU dari mana-mana agensi menggunakan nama salah satu nama ibu bapa mereka untuk urusan banking adakah jika pemengang akaun tersebut meninggal dunia iaitu penjaga anak OKU ini, adakah juga wang bantuan bulanan tersebut:

    a)perlu di faraidkan bermulanya si penjaga meninggal dunia?

    b)bagaimana wang bantuan bulanan seterusnya yang diterima oleh anak OKU ini adakah perlu di fariadkan setiap bulan?

4)Adakah wang pencen yang di terima oleh anak OKU jugak harus difaraidkan.

 

Sekian Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan dan penerangan fakta kes yang telah diterima, pihak puan bolehlah merujuk sebagaimana berikut :

Soalan 1 : Adakah anak-anak OKU dari mana-mana kategori layak menerima pusaka dari ibu bapa mereka?

Jawapan 1 : Anak-anak OKU dari mana-mana kategori adalah layak menerima harta pusaka dari ibu bapa mereka kerana OKU bukanlah penghalang untuk seseorang itu daripada mempusakai harta peninggalan kerabatnya.

 

Soalan 2 : Jika ada ibu bapa yang membuka akaun bersama dengan anak tersebut (bukan bantuan bulanan, hanya sebagai simpanan bersama) dan jika ibu bapa anak OKU ini telah meninggal dunia, adakah duit simpanan anak OKU ini dikira faraid disebabkan penama akaun adalah salah seorang ibu bapa?

Jawapan 2 : Duit simpanan anak OKU dalam akaun bersama ibu bapanya tidak menjadi harta pusaka. Hanya bahagian ibu bapanya sahaja yang menjadi harta pusaka yang perlu dibahagi secara faraid kepada ahli warisnya.

 

Soalan 3 : Jika bantuan bulanan yang di terima setiap bulan oleh anak OKU dari mana-mana agensi menggunakan nama salah satu nama ibu bapa mereka untuk urusan perbankan adakah jika pemengang akaun tersebut meninggal dunia iaitu penjaga anak OKU ini, adakah juga wang bantuan bulanan tersebut perlu di faraidkan bermulanya si penjaga meninggal dunia atau bagaimana wang bantuan bulanan seterusnya yang diterima oleh anak OKU ini adakah perlu di fariadkan setiap bulan?

Jawapan 3 : Duit bantuan bulanan yang diterima oleh anak OKU daripada mana-mana agensi, tetapi dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama ibu atau bapa bagi tujuan transaksi, bukanlah sebahagian daripada harta pusaka si mati sekiranya ibu atau bapa tersebut meninggal dunia. Ini kerana wang tersebut merupakan milik anak OKU dan bukannya hak peribadi ibu atau bapa.

Dalam hal ini, ibu atau bapa hanyalah bertindak sebagai pemegang amanah bagi menguruskan penerimaan bantuan tersebut kerana anak OKU tidak berkeupayaan untuk menguruskan harta mereka sendiri.

Sekiranya ibu atau bapa sebagai pemegang amanah meninggal dunia, maka seorang wasi (pentadbir) perlu dilantik untuk menguruskan bantuan dan kebajikan anak OKU bagi memastikan hak mereka terus terpelihara.

 

Soalan 4 : Adakah wang pencen yang diterima oleh anak OKU jugak harus difaraidkan?

Jawapan 4 : Wang pencen yang diterima oleh anak OKU bukanlah kategori harta pusaka dan tidak perlu difaraidkan. Akan tetapi, perlu dilantik wasi (pentadbir) bagi mengurus hak dan menjaga kebajikan anak OKU tersebut.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image