Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya baru sahaja menyedari akaun KWSP saya adalah akaun konvensional dan terus menghantar permohonan untuk tukar ke akaun Islamik. Persoalan saya, apa yang perlu saya buat untuk menyucikan dividen yang saya terima di tahun-tahun dahulu? Saya juga tak pernah keluarkan duit simpanan KWSP saya. Jazakallahu khairan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-4/2015 yang bersidang pada 19 Oktober 2015 memutuskan bahawa:
i. KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke akaun KWSP-Islamik;
ii. Pencarum yang beragama Islam wajib mencarum dalam akaun KWSP-Islamik; dan
iii. Pihak KWSP hendaklah mengamalkan pelaburan patuh Syariah.
Berdasarkan kepada keterangan fatwa di atas, sekiranya tuan telah bertukar ke akaun KWSP-Islamik selepas fatwa di atas dikeluarkan, maka harus menggunakan duit simpanan tersebut. Jika selepas fatwa ini dikeluarkan dan tuan tidak menukar ke akaun KWSP-Islamik dan telah habis digunakan, tuan hendaklah bertaubat dan wajib membuat kiraan serta amaun pembersihan perlu diserahkan kepada pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri kerana wang tersebut adalah hasil tidak patuh Syariah. Berusahalah untuk membayar semula wang tidak patuh syariah tersebut terlebih dahulu namun jika tidak mampu maka mohonlah keampunan kepada Allah SWT atas kesilapan yang dilakukan.
Sekian, terima kasih.