Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Ketika saya mengandung 8 bulan, berlaku pertengkaran besar antara saya dan suami. Saya membuat keputusan untuk keluar dari rumah, ketika saya sedang bersiap untuk keluar dan masih dalam kawasan pagar rumah, suami berkata “Kalau kau keluar rumah ni, aku ceraikan kau”. Saya terus bergegas masuk ke dalam rumah. Kami berbincang dan beberapa hari selepas itu kami berbaik dan ada berbincang tentang lafaz yang terjadi. Suami berkata dia hanya berniat jika kalau saya keluar rumah pada malam itu sahaja. Jadi kami teruskan kehidupan suami isteri seperti biasa.
Saya ingin memohon penjelasan tentang status perkahwinan kami, adakah lafaz itu berterusan atau terpakai pada malam itu sahaja berdasarkan niat suami.
Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan kepada lafaz taklik tersebut, belum jatuh talak ke atas isteri kerana isteri tidak jadi keluar dari rumah. Tambahan pula, suami hanya berniat cerai sekiranya isteri keluar rumah pada malam itu sahaja. Justeru, taklik terpakai pada masa dan ketika itu sahaja.
Untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut boleh hubungi Pejabat Agama Islam yang berhampiran tempat tinggal.
Sekian, terima kasih.