Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz . Saya nk bertanya. Saya dan suami bergaduh dan suami saya ada menyatakan bahawa dia tidak akan sentuh saya sampai bila-bila. Adakah jatuh talak?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, dakwaan puan yang mana suami ada menyatakan bahawa: "dia tidak akan sentuh saya sampai bila-bila", boleh dikategorikan sebagai lafaz ila' secara kinayah. Lafaz ila' ialah apabila suami bersumpah menegah dirinya daripada melakukan persetubuhan dengan isterinya sama ada tidak dikaitkan dengan masa/ tempoh tertentu, atau dikaitkan dengan masa tetapi lebih daripada 4 bulan. Dinamakan lafaz ila' secara kinayah sebab ayat "sentuh" tidak jelas maksudnya, sama ada tidak akan menjimak isterinya atau menyetubuhinya isterinya. Jika semasa suami melafazkan ayat tersebut dengan niat untuk menceraikan isterinya, maka boleh jatuh talak ke atas isteri.
Adapun, jika ila' secara tidak bersumpah, iaitu tidak dengan nama Allah atau sifatNya, berlakulah mengikut apa yang ditaklikkan (semasa ila') itu, seperti talak. Jika suami tidak melakukan pembatalan sumpah dan mentalak isterinya, maka Qadi berhak menjatuhkan talak dengan talak satu. Sehubungan itu, puan boleh adukan perkara ini ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal untuk penjelasan dan tindakan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.