BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

Saya nk tanya tentang situasi saya sekarang. Situasi begini, semalam sebelum tido, saya ada tercium bau di cadar seperti ada bau air kencing. Saya pun tengok di bawah cadar (ada alas lapik) memang ada kesan tompok kuning. Cuma sekarang saya tak pasti adakah ianya benar2 air kencing anak saya yang bocor atau susu anak yang tumpah. Saya tak pasti kerana selama beberapa hari sebelum itu, semasa dia tidur @ waktu dia bangun tidur saya tak ada pula rasa basah pada seluar anak. Tapi apabila ada bau itu, saya syak dan kuat mengatakan ianya adalah air kencing sebab baunya seperti air kencing. Masalahnya, beberapa hari ni, setiap kali selepas anak mandi, saya lap badannya, dan baringkan dia atas tilam utk pakaikan pampers. Saya risau jika saya tak sedar rambutnya yang basah @ muka @ badannya ada terkena najis atas tilam tadi. 
 

1. Soalan pertama sy, jika betul ianya adalah najis air kencing anak, anggota badan/rambut anak yang basah yang mungkin terkena najis atas tilam apabila dibaringkan tadi, bagaimana? Anak saya selepas mandi dan bersiap, akan main2 di ruang tamu (dduk di sofa, dduk @ baring ats lantai depan tv, dduk di meja makan). Kemudian akan main dengan mainan2 dia. Macam mana ya ustaz, saya dah tak tau nk buat apa, perlu ke sy cek setiap tempat setiap rumah nak tengok ada najis yang berpindah atau tak? Perlu ke cuci sofa, lantai dan barang mainan dia semua?

2. Jika tangan saya yang memegang anak (terkena anggota anak yg terkena najis tadi), adakah bernajis? Kemudian saya pegang benda2 lain dalam rumah, adakah benda2 yang saya pegang tadi semua dikira terkena najis? Tolong sy ustaz. Saya buntu tak tau nak buat apa.

Terima kasih ustaz.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu barang itu terkena najis melalui ain, warna dan rasa. Penyucian ke atas barangan yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najis jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disucikan. 

Oleh itu, mengikut situasi yang puan alami, puan telah menyakini keberadaan najis tersebut pada cadar tersebut secara yakin, oleh kerana terdapat sifat-sifatnya seperti warna dan bau. Justeru, puan hanya perlu membersihkan cadar tersebut sahaja kerana di situ yang sudah dipastikan keberadaan najis dengan menyucikannya menggunakan air mutlak. Namun, selain pada tempat yang dikhuatiri berlaku adanya perpindahan najis maka tidak perlu dibersihkan  kerana perpindahan tersebut tidak dapat dipastikan secara yakin. Hal ini kerana umat Islam hanya diminta untuk mengambil hukum secara zahir berdasarkan apa yang berlaku.  Berdasarkan kaedah yang ditetapkan oleh para ulamak:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia. 

Begitu juga, asal bagi sesuatu itu adalah suci sepertimana dalam satu kaedah menyebutkan bahawa;

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 22

message user image