Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Semoga tn berada dalam limpah Rahmat Allah. Saya ada kemusykilan berkaitan nazar.
adakah boleh saya menunaikan nazar sekiranya hajat belum tercapai dan kemudian apabila hajat tersebut dicapai adakah saya perlu tunaikan sekali lagi?
sebagai contoh, sekiranya saya mendapat keuntungan rm10,000 saya akan hadiahkan ibu saya telefon baru. Namun belum dapat keuntungan saya belikan telefon baru untuk ibu saya kerana rosak. Kemudian jika sebulan selepas itu saya capai hajat tersebut. Adakah perlu ditunaikan sekali lagi? Atau adakah dibenarkan untuk batalkan nazar sebelum hajat tercapai?
sekian, segala pencerahahan didahului dengan ucapan terima kasih. Jzkk.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Nazar bermaksud mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah SWT) yang tidak tentukan olehnya secara asal dalam syariat. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalan surah al Hajj ayat ke 29 :
Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.
Dan sebuah hadis daripada Aisyah Ranha bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan pertanyaan, seseorang tidak wajib menunaikan nazarnya sekiranya sesuatu yang dihajatkan belum tercapai. Namun begitu, dalam situasi ini pemberian hadiah tersebut sudah merangkumi nazar yang telah diniatkan meskipun hajatnya hanya tercapai selepas itu. Oleh itu, tidak perlu menunaikan nazar tersebut buat kali kedua kerana nazar tersebut sudah terlaksana dengan pemberian hadiah itu namun ia perlu diniatkan untuk menunaikan nazar ketika ia dilaksanakan.
Adalah lebih baik menunggu sehingga nazar terlaksana kerana ianya merupakan janji yang telah dibuat dan ia perlu ditunaikan sesuai dengan janji yang telah dibuat. Namun sekiranya telah dilaksanakan maka nazar tersebut tetap sah berdasarkan pandangan ulamak.
Sekian, terima kasih.