Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,saya ingin bertanya jika saya ingin membeli crypto dengan tujuan simpanan jaangka panjang dan telah mempelajari crypto apakah hukumya
Jawapan
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-4/2021 telah memutuskan bahawa harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang kripto sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:
1) Urus niaga melibatkan mata wang kripto hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;
2) Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:
i. Jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang kripto;
ii. perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang kripto dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;
iii. peraturan-peraturab yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang kripto berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan
iv. undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang kripto.
3) Sebagaimana mata wang yang lain, mata wang kripto hendaklah tidak digunakan sebagai bayaran kepada barangan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh Syariah seperti pembelian dadah, pelacuran, perjudian dan pendanaan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram.
Merujuk kepada persoalan tuan, jika simpanan jangka panjang tersebut memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh badan berautoriti, maka harus simpanan tersebut dilakukan. Jika sebaliknya, seperti mempunyai risiko yang tidak pasti, adalah sebaiknya dielakkan dan menukar kepada platform simpanan jangka panjang yang lebih selamat, meyakinkan dan pastikan ianya patuh syarak serta disahkan oleh pihak berautoriti.
Sekian, terima kasih.