Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,ustazah .boleh saya tahu perlu ke seorang suami isteri pergi ke pejabat agama untuk kepastiaan sama ada talak jatuh atau tidak kerana seorang suami telah mengatakan isteri dah bersama(berzina) dengan lelaki lain.Suami mengatakan ada lendiran pada seluar dalam isteri bermaksud lendiran itu adalah air mani lelaki lain.Pada awalnya pertengkaran suami dan isteri berlaku kerana suami menuduh isteri ada lelaki lain dan menekan2 isteri untuk paksa jawab sampai isteri mula rasa fedup dan menjawab Ya aku ade jantan lain yang hakikatnya isteri tiada berkomunikasi atau berhubung dengan mana2 lelaki sekalipun.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, suami yang menuduh isterinya berzina hendaklah melakukan li’an, iaitu li’an menurut istilah fikah (hukum syara) ialah sumpah laknat suami apabila ia menuduh isterinya melakukan zina. Sumpah itu diucapkan sebanyak empat kali, bahawa tuduhan itu benar dan pada sumpah yang kelima ia meminta laknat daripada Allah SWT sekiranya ia berdusta.
Firman Allah SWT dalam surah An Nur ayat 6 - 7 :
Maksudnya: Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar.
Maksudnya: “Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.”
Justeru, kes ini hendaklah dikemukakan terus ke Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal puan untuk disahkan oleh Hakim Syarie. Kesan li’an dalam perkahwinan adalah suami dan isteri tersebut dipisahkan dan diharamkan selama-lamanya berkahwin semula dengan isteri yang dili’annya sekalipun isteri tersebut telah berkahwin dengan beberapa orang yang lain
Sekian, terima kasih.