BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya nak tanya. Iman boleh terbatal melalui 3 perkara. 1. Iktikad 2. Perkataan dan 3. Perbuatan. Saya pernah dengar ustaz ceramah kata kalau pelakon yang berlakon watak kafir, sampai macam melakukan perbuatan menyembah berhala begitu walaupun dia tiada niat nak murtad tapi tetap dikira murtad. Lalu, bagaimana pula, kalau orang Islam, nyanyi lagu orang kafir, yang ada lirik kufur. Contoh macam dalam lagu tu ada mention pasal Jesus dan bible macam tu, adakah orang tu akan dikira kafir jugak walaupun dia nyanyi hanya untuk suka-suka dan sebab dia suka rentak lagu tu? Dulu waktu saya umur 15 saya pernah suka satu lagu ni, tajuk dia "take me to church", saya tahu tak elok dengar lagu macam ni tapi saya dengar sebab suka rentak dia dan kadang ada saya nyanyi, tapi saya tak la bertekad dengan apa yang saya nyanyi tu. Adakah boleh jatuh murtad juga kalau macam ni? Bukan lagu ni ja tapi ada beberapa lagi lagu lain yang saya dengar, kadang saya tahu je lirik dia ada mengandungi kufur macam tu tapi saya still dengar sebab suka irama nya saja.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan persoalan yang diajukan, firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 6:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِين

Maksudnya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.

Lagu sebegini tidaklah menambahkan keimanan seseorang atau semangatnya untuk menegakkan agama Allah SWT. Ia hanyalah sebuah lagu yang melalaikan dan tidak memberikan sebarang faedah kepada pendengar, bahkan mendorongnya ke arah kemaksiatan yang telah jelas pengharamannya oleh syara‘. Berkenaan isu sama ada jatuh murtad atau tidak jika mendengar lagu ini, jika orang yang mendengar hanya sekadar hiburan tanpa beriman dengan lirik-lirik yang berunsur syirik itu, maka tidak jatuh murtad.

Akan tetapi, sekiranya dia mengimani setiap lirik berunsur syirik yang dinyanyikan di dalam lagu, dibimbangi boleh menyebabkan gugur iman seseorang itu dan boleh mengakibatkannya seseorang itu terkeluar daripada agama Islam

Mengambil hadis Nabi SAW berkenaan niat untuk menentukan hukum halal dan haram amalan seseorang:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Sesungguhnya semua perbuatan itu harus disertai dengan niat dan tiap-tiap orang akan dinilai menurut niatnya. (Riwayat al-Bukhari)

Dinasihatkan agar berhati-hati apabila melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan iman atau mendorong ke arah kekufuran. Ingatlah bahawa seseorang itu boleh jatuh murtad apabila berbuat syirik, dan syirik merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 116:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 40

message user image