BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalam wbk. Syarikat tempat saya bekerja mengambil polisi insurans kesihatan & kemalangan sebagai kemudahan (benefit) untuk kakitangannya. Caruman insurans konvensional ini dibayar oleh syarikat. Sekiranya kakitangan syarikat disahkan mengidap penyakit kritikal (seperti sakit jantung) atau terlibat kemalangan semasa bertugas, sejumlah wang pampasan akan dituntut dari syarikat insurans bagi pihak kakitangan tersebut. Kakitangan berkenaan akan menerima sebahagian atau keseluruhan wang pampasan insurans tersebut. Apakah hukum mengambil wang pampasan insurans tersebut dan menggunakannya?

Sekian, terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, secara umum hukum mengambil wang pampasan insurans konvensional yang dibayar oleh syarikat tersebut dan menggunakannya adalah haram di sisi hukum syarak kerana berdasarkan keputusan yang telah diputuskan dalam Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 dan Ke-89 insurans konvensional ini mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip asas jual beli dalam Islam seperti gharar (ketidaktentuan), riba, dan perjudian. 

Sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Baqarah, ayat 275:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا ۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَىٰ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Yang bermaksud: Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Namun dalam situasi pekerja tidak ada pilihan dalam menerima manfaat ini, mereka boleh mengambil wang pampasan tersebut dengan beberapa syarat:

  1. Bukan pekerja yang mencarum secara langsung – kerana dalam kes ini, syarikat yang membayar caruman, bukan pekerja.
  2. Diterima dalam keadaan terpaksa – pekerja tidak ada pilihan kerana insurans ini diberikan secara automatik oleh majikan.
  3. Menggunakan wang pampasan hanya pada kadar ganti rugi yang sepatutnya – seperti kos rawatan, perubatan, dan pemulihan selepas kemalangan.

Namun, jika pampasan itu melebihi kadar ganti rugi sebenar, lebihan itu tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi dan perlu disalurkan kepada badan kebajikan seperti Baitulmal atau orang yang memerlukan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image