BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salamalaykum saya ada soalan 

1. Seorang pelajar memperoleh biasiswa melalui penipuan, dan menggunakan wang itu untuk membayar yuran kolejnya dan kemudiannya memperoleh ijazah melalui cara ini. Dia sudah menyesal dan bertaubat dari dosa tersebut, dan berazam untuk bayar balik duit tersebut. Namun sekiranya tiada cara untuk pulangkan duit tu, dia bercadang untuk salurkan jumlah duit biasiswa tersebut ke baitulmal saja. Jadi soalan saya, apakah boleh dia pamerkan dan guna ijazah tersebut untuk cari kerja? Adakah haram? Lalu bagaimana pula kalau dia terima gaji dari kerja yang dia peroleh menggunakan ijazah tu. Adakah halal digunakan. Untuk makluman tuan, jumlah yang dia perlu bayar balik adalah lebih kurang Rm15k, dan dia tak mampu untuk bayar balik sekiranya tak bekerja.

2. Adakah menggunakan wang haram sebegini untuk tujuan belajar seperti membayar yuran pengajian, membeli alat tulis dan internet untuk urusan belajar, hukumnya sama seperti mereka yang menggunakan wang haram atau barang hasil curian untuk memulakan perniagaan? Dia sedikit risau kerana sekiranya hukumnya sama, maka ada pendapat yang mengatakan bahawa pemdapatan dari hasil sebegini haram dan harus diberikan keuntungan kepada pemilik asal harta. Adakah sekiranya dia sudah bekerja dan gaji diterimanya nanti bukan milik dia?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Biasiswa yang diperoleh dengan cara menipu dianggap sebagai sumber harta yang tidak halal kerana diperoleh dengan cara yang salah. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَآ إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:  Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta benda sesama kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu bawa urusan harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

Pelaku dinasihatkan agar bertaubat kepada Allah SWT atas kesilapan yang dilakukan, taubat yang dilakukan perlu memenuhi syarat:

  • Menyesali perbuatan tersebut
  • Berhenti daripada melakukannya
  • Berazam untuk tidak mengulanginya lagi
  • Mengembalikan hak kepada yang berhak jika berkaitan dengan harta orang lain

Namun, ilmu yang dipelajari tetap sah kerana ilmu bukanlah sesuatu yang bergantung kepada sumber kewangan akan tetapi kepada usaha dan pemahaman seseorang.

Ijazah yang diperoleh tersebut adalah hasil daripada pembelajaran sebenar dan bukan melalui pemalsuan akademik (seperti menipu dalam peperiksaan atau memalsukan sijil). Justeru, ijazah tersebut secara zatnya tidaklah haram. Gunakanlah sijil ijazah tersebut dengan niat ingin mendapatkan pekerjaan yang baik dan dari sumber yang diberkati atas asbab ketekunan dalam melaksanakan pekerjaan yang diamanahkan.

Jika mempunyai cara dan kemampuan untuk mengembalikan wang tersebut kepada pihak yang memberi biasiswa, maka wajib berusaha untuk membayarnya kembali. Namun, jika tidak ada jalan untuk memulangkannya (contohnya, tidak dapat menghubungi pihak yang memberi biasiswa atau organisasi tersebut sudah tidak wujud), maka membayar kepada baitulmal atau tujuan kebajikan lain adalah langkah yang baik sebagai ganti.

2. Hukum penggunaan wang biasiswa tersebut tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan menggunakan wang curian sebagai modal perniagaan kerana wang biasiswa telah berubah bentuk kepada ilmu dan kelayakan, bukan keuntungan wang yang berkembang secara langsung. 

Manakala gaji yang diperoleh pula adalah berdasarkan usaha kerja yang dilakukan dan bukan daripada wang biasiswa yang diterima dahulu. Oleh itu, jika seseorang benar-benar bekerja dan tidak menipu dalam kelayakan atau tugasnya, maka hasil wang yang diperoleh adalah halal dan baik. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 27

message user image