BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan,

Saya ingin bertanya mengenai status duit angpao yang saya terima dari satu syarikat kontraktor. Untuk makluman, tugas saya adalah sebagai Project Manager di sebuah syarikat pembinaan dan saya banyak berhubung dengan Majlis Perbandaran atas urusan kerja.

Pada suatu hari, sekitar perayaan tahun baru cina, saya mendapat satu sampul angpao dari rakan sekerja saya. Rakan saya beritahu bahawa salah satu kontraktor kami beri kepada saya sebagai hadiah kerana saya telah mempercepatkan projek mereka walhal saya hanya menjalankan tugasan harian saya. Mungkin ada tempias secara tidak langsung dari hasil kerja saya dan benefit itu dirasai oleh pihak berkenaan tapi saya langsung tidak didorong atau diberitahu atau berniat untuk mempercepatkan kerja mereka secara khusus apalagi mengharapkan angpao atau hadiah.

Jadi apakah status angpao yang mereka hadiahkan ini? Saya was-was akan hukum saya menerima hadiah ini, adakah ini termasuk didalam kategori rasuah?

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan definisi rasuah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu:

“Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun”.

Dalam Islam, rasuah adalah haram sama sekali, baik pemberi mahupun penerima. Disebabkan situasi ini berlaku atas dasar kerja rasmi atau kerja hakiki tuan, maka ia termasuk dalam definisi rasuah tersebut.  Dinasihatkan kepada tuan untuk tidak mula terjebak dengan budaya ini walaupuan tuan tidak memintanya atau ia pemberian ikhlas syarikat tersebut. Daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرَّاشي والمُرتَشي في النارِ

Maksudnya: Pemberi rasuah dan penerima rasuah berada dalam api neraka  (Riwayat al-Thabarani)

Oleh yang demikian, menerima sebarang pemberian sama ada berbentuk hadiah barangan, wang ringgit dan sebagainya oleh seorang pegawai atau pekerja ke atas kerja atau tugasan yang menjadi tanggungjawab pegawai boleh dianggap sebagai suatu kesalahan dan dihukumkan sebagai rasuah. Sebarang pemberian daripada pihak ketiga perlu dimaklumkan dan mendapat kebenaran daripada pihak majikan atau Ketua Jabatan. Sekiranya tidak diperakukan oleh Ketua, maka duit itu tidak boleh diterima sama sekali walaupun ianya untuk tujuan bersedekah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 32

message user image