Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum saya menjual gelang emas di kedai emas non muslim? Ada yang mengatakan wang yang saya perolehi daripada menjual gelang tersebut adalah tidak berkat. Ini kerana terdapat unsur riba' jika berurusan dengan mereka. Perkara ini sangat merisaukan saya dan membuatkan saya rasa serba salah terhadap wang yang saya terima itu. Mohon penjelasannya kerana saya sangat terdesak untuk menggunakan wang sekarang ini.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan,
Secara umumnya hukum bermuamalat dengan orang non-Muslim asalnya adalah harus dan dibolehkan. Ini berdasarkan panduan umum yang telah dinyatakan dalam al-Quran berkenaan muamalah sesama manusia. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.
Selain itu, terdapat hadis yang menceritakan berkenaan muamalah Nabi SAW bersama dengan orang bukan Islam. Sebagai contoh, Aisyah RA menceritakan:
Maksudnya; Rasulullah pernah beli daripada seorang Yahudi makanan (bijirin barli) secara kredit, dengan menggadaikan baju besi Baginda." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan kedua-dua hujah ini dan hujah yang lain, dibenarkan jual beli dengan non-Muslim selagi mana ia tidak melibatkan transaksi yang haram seperti jual beli arak, khinzir, atau yang menyumbang kepada perkara yang jahat seperti penjualan senjata perang untuk memerangi orang Islam, atau barang yang mempunyai unsur kesucian seperti mushaf, atau seumpamanya.
Bagi isu ini, transaksi yang dilakukan adalah sah walaupun tidak diketahui sumber harta yang digunakan oleh pemilik kedai selagi mana penjualan gelang emas itu tidak dilakukan secara riba.
Sekian, terima kasih.