BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Sah ke mandi wajib kalau kite mandi  tu kite tau dah ada sebelum mandi wajib tu ada kotoran di celah kuku tapi tak tau ia menghalang atau tak.saya mandi lepas tu dalam sejam sepuluh minit saya bersih kan kuku.saya keluar kan benda hitam kecil.saya tak tau tu apa.sebelum mandi dah potong kuku dah tapi dua ibu jari kaki saya tak potong sebab susah,mencalarkan kuku dan lama.tapi boleh je potong.tapi lama la.sambung balik yang keluar kan benda hitam kecil tu kat bahagian ibu jari kaki saya lah.saya basuh kaki saya dengan niat sambung mandi


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, dalam hal ini, mandi wajib yang dilakukan pada awalnya sah sekiranya air tetap sampai ke bahagian kulit di bawah kotoran atau benda hitam tersebut. Selain itu, tidak wajib untuk berterusan (muwalah) dalam melaksanakan mandi wajib di sisi jumhur ulama. Hukum untuk melaksanakan mandi junub secara berterusan adalah sunat. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfat al-Muhtaj bahawa:

‌وَكَذَا ‌الْغُسْلُ ‌تُسَنُّ ‌مُوَالَاتُهُ ‌كَالْوُضُوءِ ‌خُرُوجًا ‌مِنْ ‌الْخِلَافِ

Maksudnya: Begitu juga, disunatkan bagi mandi junub dilakukan secara berterusan sama seperti wuduk sebagai keluar daripada khilaf.

Ini juga pandangan daripada jumhur ulama sepertimana yang disebut dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiah bahawa:

الترتيب والموالاة في الغسل غير واجبين عند جمهور الفقهاء

Maksudnya: Tertib dan berterusan pada mandi wajib adalah tidak wajib di sisi jumhur fuqaha.

Oleh itu, jika seseorang meninggalkan basuhan sebahagian anggota ketika mandi wajib, kemudian dia membasuhnya pada waktu yang lain, maka sah mandi wajibnya. Manakala berkenaan niat, Imam al-Nawawi berkata:

ثُمَّ إِنْ نَوَى رَفْعَ الْجَنَابَةِ، أَوْ رَفْعَ الْحَدَثِ عَنْ جَمِيعِ الْبَدَنِ، أَوْ نَوَتِ الْحَائِضُ رَفْعَ حَدَثِ الْحَيْضِ، صَحَّ الْغُسْلُ

Apabila seseorang meratakan air ke tangan dan kaki dengan niat untuk menyambung mandi wajib yang sebelumnya, maka mandi wajibnya adalah sah.

والله أعلم بالصواب 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 22

message user image