BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan/puan, saya pernah mencuri duit ibu saya sebanyak RM400 semasa bersekolah menengah dan saya mahu menebus kesalahan tersebut dengan membayar semula, namun saya membayarnya secara senyap-senyap seperti pada hari raya saya bagi duit tersebut sama seperti duit raya tapi dalam hati niat untuk membayar semula duit yang pernah dicuri suatu ketika dulu.

Jadi persoalan saya, sah atau tidak kerana kalau saya berterus terang akan memudaratkan diri saya kerana takut ibu dan ayah saya akan bermasam muka dengan saya atau tidak izin jejak kaki ke rumah lagi. Mohon pencerahan pihak tuan/puan kerana perkara ini membuatkan saya tidak tenang.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, perbuatan menggantikan semula duit yang telah diambil adalah satu langkah yang sangat baik dan menunjukkan kesedaran serta keinginan untuk bertaubat. Dalam Islam, apabila seseorang telah mengambil hak orang lain tanpa izin, dia wajib bertaubat, memohon maaf dan mengembalikan semula barang yang diambil. Perkara yang terbaik adalah berterus terang mengakui akan kesilapan memohon ampun. Walau bagaimanapun, jika tindakan tersebut boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk terutama jika boleh membawa kepada mudarat seperti hubungan keluarga menjadi tegang maka tindakan membayar balik duit tersebut secara senyap sudah dikira sah, asalkan jumlah yang anda kembalikan sama atau lebih daripada jumlah yang dicuri. 

Teruskan memohon keampunan daripada Allah, bertaubat dengan ikhlas dan berazam untuk tidak mengulangi kesilapan ini lagi. Berbuat baiklah kepada ibu, selain menggantikan wang tersebut, cuba berbakti lebih kepada ibu bapa sebagai tanda keinsafan. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 29

message user image