BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam, saya bekerja di syarikat yang majoritinya bukan Islam. Di pejabat ada pantri yang tidak diasingkan penggunaan sinkinya untuk halal dan non halal. Saya sudah mengelak dari menggunakan sinki di pantri kerana timbul was-was. Walaubagaimanapun, saya ada masuk ke pantri kerana kadang kadang sesi townhall dan sebagainya diadakan di pantri. Baru baru ini saya ke pantri untuk mengambil tisu. Waktu saya mengambil tisu, tisu itu ada bahagian yang lembab seperti terkena satu titik air. Saya sudah memegang tisu tersebut, tapi saya terus terfikir bagaimana kalau lembapan itu datang dari tangan seseorang yang menggunakan sinki pantri itu? Adakah lembapan ini dikira najis? Saya tahu ramai pekerja bawa makanan sendiri dari rumah dan menggunakan pantri. Selepas itu saya buang tisu tersebut dan basuh tangan. Tetapi tangan saya memegang pelbagai benda selepas itu, seperti laptop, phone. Jadi adakah lembapan itu najis? Bagaimana caranya untuk saya tangani masalah was-was seperti ini?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, dalam situasi ini, lembapan pada tisu tidak boleh dianggap najis kecuali jika ada bukti jelas seperti bau, warna, rasa atau kesan najis yang nyata. Hukum asal sesuatu adalah suci sehingga terbukti sebaliknya. Was-was tidak boleh dijadikan asas dalam menentukan sesuatu itu najis.

Sesungguhnya Allah SWT tidak memberatkan seseorang hambaNya daripada syariat yang telah ditetapkan olehNya. Firman Allah SWT melalui surah al-Hajj ayat ke-78:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

MaksudnyaDan DIA tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

Cara Mengatasi Was-was:

  1. Berpegang pada hukum asal (suci) – Selagi tiada bukti nyata, anggap sesuatu itu bersih.

  2. Elakkan terlalu banyak berfikir – Jangan membebankan diri dengan perkara yang tidak pasti.

  3. Abaikan rasa was-was – Basuh tangan sudah mencukupi, tidak perlu menyertu barang lain.

  4. Fokus pada keyakinan, bukan keraguan – Islam tidak membebankan umatnya dengan perkara yang tidak jelas.

Jika was-was berterusan, cuba latih diri untuk mengabaikan perasaan tersebut secara perlahan-lahan. Semoga Allah memberi ketenangan dan mempermudahkan urusan anda.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 25

message user image