BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya soalan. Sekiranya isteri melakukan zina dengan lelaki lain dan dia mengandung anak lelaki tersebut, adakah suami kepada isteri tersebut perlu menanggung anak itu sekiranya sudah bersalin?. Adakah betul anak itu dianggap anak suami walaupun hasil ujian DNA tidak sama dengan DNA suami? mohon pencerahan. Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Firman Allah SWT dalam surah al-Israa' ayat 32:

وَلَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰۤۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةࣰ وَسَاۤءَ سَبِیلࣰا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, dakwaan seorang suami terhadap isteri yang mengandung hasil zina dengan lelaki lain adalah berat. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 6-7:

وَٱلَّذِینَ یَرۡمُونَ أَزۡوَ ٰ⁠جَهُمۡ وَلَمۡ یَكُن لَّهُمۡ شُهَدَاۤءُ إِلَّاۤ أَنفُسُهُمۡ فَشَهَـٰدَةُ أَحَدِهِمۡ أَرۡبَعُ شَهَـٰدَ ٰ⁠تِۭ بِٱللَّهِ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلصَّـٰدِقِینَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.

Suami haram menafikan nasab anak jika ada kemungkinan anak tersebut hasil hubungan suami isteri atau hasil daripada perzinaan. Sekiranya suami yakin dan terbukti anak itu adalah hasil daripada perzinaan maka suami perlu mengangkat sumpah secara li'an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie. Kesan daripada sumpah li'an tersebut mereka difaraqkan/ dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya. 

Ringkasnya, jika diputuskan oleh pihak Mahkamah Syariah bahawa li'an telah berlaku lalu mensabitkan bahawa anak itu bukan anak suami, maka anak tersebut dianggap sebagai anak tak sahtaraf. Tanggungan nafkah dan penjagaan bagi anak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.   

Perkara tersebut hendaklah diputuskan di dalam Mahkamah Syariah. Seandainya tiada penafian atau permohonan li'an dibuat di mahkamah, maka anak tersebut dianggap sebagai anak kepada suami tersebut yang sah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 32

message user image