Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz/ Ustazah,
Saya ada pertanyaan berkaitan ahli keluarga yang toksik dan membuatkan kami sekeluarga mengalami masalah.
Saya mempunyai seorang makcik saudara berumur 70 tahun yang tidak pernah berumahtangga serta sekarang menetap bersama di rumah saya. Untuk pengenalan, makcik saudara saya tidak pernah mempunyai kediamannya sendiri dan hanya menumpang duduk bersama kakak-kakak & abang-abangnya (ibu-ibu dan ayah-ayah saudara) yang lain sepanjang hidupnya. Alasannya kerana takut duit habis untuk bayar sewa, api air dsbgnya. Malangnya kerana mulut, sikap dan perbuatan yang terlalu sering menyakiti orang lain, dia kerap dihalau keluar oleh mereka. Ibarat 10 tahun di kampung, 15 tahun di rumah maklong, 10 tahun di rumah makngah kami dan pelbagai tempat lagi di negeri yang berlainan.
Awalnya pada tahun 2008 dia datang ke rumah keluarga saya dan tinggal bersama ibu dan arwah ayah saya setelah dihalau oleh kakaknya yang lain. Ibu saya kesiankan dirinya dan berfikir mungkin telah sampai masa untuk mencarikannya rumah sendiri untuk duduk. Tapi makcik saya tak mahu dan hanya mahu menetap bersama ibu dan arwah ayah ketika itu sebab dia memang tak mahu keluar belanja langsung walaupun bekerja. Ibu saya diamkan perkara tersebut kerana itu adalah adiknya. Beberapa tahun menetap bersama, makcik saya terlalu kerap bergaduh bersama ayah saya pula. Perkara kecil pun menjadi masalah. Ayah saya meminta ibu saya supaya mereka bercerai sekiranya beliau mahu terus menjaga adiknya. Jadi ibu saya meminta saya yang pada masa tersebut agak struggle mencari baby sitter untuk anak yang masih kecil. Ibu saya meminta makcik saya untuk menjaga anak saya di rumah dan tak perlu lagi menghantar ke baby sitter.
Kerana terdesak, pada tahun 2016 saya bersetuju dengan syarat sehingga anak kedua saya berumur 2 tahun sahaja. Selepas keadaan reda antara makcik dan ayah saya, saya minta untuk ambil dia semula. Masalah mula timbul rupanya pada bulan pertama makcik saudara ini menjaga anak saya. Dia rupanya seorang yang suka memfitnah saya kepada guru-guru tadika anak saya (tadika selang 2 buah rumah), jiran-jiran saya yang kononnya di rumah kami tiada makanan, tiada lauk untuk dimasak. Meminta ehsan jiran-jiran untuk memberinya lauk ketika saya keluar bekerja. Memfitnah kononnya saya beriya-iya memanggilnya untuk duduk bersama kami dan dijadikan seperti pembantu rumah. Memfitnah yang saya tak pernah menyediakan bahan lauk basah di rumah sehinggakan dia kelaparan sepanjang hari. Sedangkan sebelum keluar bekerja saya telah menyediakan segala yang termampu malahan siap masakkan untuk anak setiap hari tanpa culas. Perkara ini menjadi serius sehinggakan ketua kampung (ketua kawasan) mendapat tahu ceita ini dan ingin memanggil polis atas isu pengabaian. Ringkasnya, setelah tok ketua dan beberapa jiran datang ke rumah maka terbuka lah segala cerita yang sebenarnya saya difitnah makcik saya sendiri. Alasannya berbuat begitu kerana dia malas nak masak dan sebenarnya tak mahu pun menjaga anak saya. Dia ingin di sini kerana rumah saya lebih besar dan selesa dari rumah ibu dan bapa saya sahaja.
Malang datang bertimpa selepas itu kerana ayah saya meninggal dunia dan ibu saya diberhentikan kerja. Ibu memberi alasan tak mahu ambil semula adiknya kerana tidak mampu menyara dan sakit kepala dengan karenah adiknya ini. Suami dan ibu mertua saya juga dah tawar hati untuk memberi makcik saya tinggal di rumah kami kerana perbuatannya sangat memalukan suami. Saya berfikir untuk menghantar ke rumah orang tua tetapi ibu saya tak bersetuju. Ibu paksa saya menjaga adiknya yang masih bersikap seperti ini. Ibu saya tak mahu ambil semula adiknya tapi saya perlu menjaga air muka ibu saya kepada adik beradiknya yang lain agar tak menghantar makcik saya ini ke mana-mana walaupun saya hampir gila di rumah. Ibu saya memomokkan saya dengan hukum menjaga saudara yang susah. Masalahnya suami saya amat marah dengan semua perkara serta perbuatan makcik yang berlaku 8 tahun ini. Perlukah saya tahan dan apakah dalam Islam saya hanya perlu bersabar dengan manusia seperti ini di dalam kehidupan rumahtangga kami walaupun ia bakal menjejaskan rumahtangga saya?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Dalam kehidupan, kita sering diuji dengan tanggungjawab terhadap ahli keluarga terutama apabila melibatkan mereka yang kurang berkemampuan atau menghadapi kesulitan. Islam sangat menekankan konsep ihsan dan silaturahim, namun dalam masa yang sama agama ini juga mengajar keseimbangan dan keadilan dalam melaksanakan tanggungjawab. Tidak dinafikan, menjaga ahli keluarga yang menghadapi kesulitan adalah suatu bentuk kebajikan yang besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Namun, ia per5lu dilakukan dengan pertimbangan yang wajar agar tidak menzalimi diri sendiri atau menjejaskan keharmonian dalam keluarga.
Dalam menghadapi situasi seperti ini, penting untuk mencari jalan tengah yang terbaik. Berbincanglah secara baik dengan ahli keluarga yang lain kerana tanggungjawab terhadap seorang saudara bukan hanya terletak pada seorang individu sahaja, tetapi perlu dipikul secara bersama oleh ahli keluarga yang lain. Jika sesuatu keadaan sudah sampai ke tahap memudaratkan, maka Islam tidak mewajibkan seseorang untuk terus memikul beban yang berada di luar kemampuannya.
Apa yang lebih utama ialah menyelesaikan perkara ini dengan hikmah tanpa menimbulkan permusuhan atau memutuskan silaturahim. Boleh jadi, dengan pendekatan yang lembut tetapi tegas, maka ahli keluarga dapat memahami keadaan yang dihadapi dan bersama-sama mencari penyelesaian yang terbaik. Sentiasalah berdoa agar Allah SWT memberikan kelapangan hati dan petunjuk dalam membuat keputusan yang adil dan diredhai-Nya.
Sekian, terima kasih.