Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada satu soalan. Suami berkata kalau isteri keluar dari rumah maka jatuh talak 3,tetapi kalau suami sudah memberikan izin isteri untuk keluar dari rumah atau keluar bersama suami dari rumah adakah jatuh talak atau tidak?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, lafaz suami berbunyi: kalau isteri keluar dari rumah maka jatuh talak 3, adalah lafaz taklik yang sorih (jelas) maksudnya. Memandangkan taklik itu bersifat umum iaitu tidak ditentukan masa dan keadannya, bermakna asal sahaja isteri keluar rumah, maka jatuh talak 3. Justeru, talak boleh jatuh bermula sebaik sahaja suami melafazkan taklik tersebut dan isteri melanggarnya (keluar rumah).
Bagi pasangan yang telah bertaklik dan melanggar taklik tersebut, hendaklah segera melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk pengesahan selanjutnya melalui Hakim Syarie.
Sekian, terima kasih.