BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera Tuan yang dihorrmati. Saya ketika berada di Tingkatan 2 (2014) pernah tidak sempat mengganti sepenuhnya puasa yang batal sebelum tibanya bulan Ramadan pada tahun itu. Sampai sekarang, saya belum menggantinya lagi dan kini ingin cuba untuk sesegera mungkin mengganti puasa. Namun, saya mengalami beberapa kekeliruan. Pertanyaan saya adalah:

1.) Apakah saya perlu mengganti puasa yang batal di tahun sebelumnya (2024) dahulu sebelum mengganti puasa yang di 2014 itu atau saya boleh mengganti mana-mana puasa, sama ada yang di tahun 2014 atau 2024 asalkan dua-duanya lunas?
2.) Bagaimanakah cara untuk berniat menqada semula puasa yang sudah lama ditinggalkan serta cara membayar fidyah?
3.) Jika saya sudah mengganti puasa, namun belum sempat membayar denda fidyah sebelum datangnya Ramadan yang baru, apakah bayaran fidyah saya akan tetap bertambah?
4.) Disebabkan sudah terlalu lama, saya sudah tidak ingat berapa jumlah puasa yang belum sempat saya qada. Apakah yang harus saya lakukan? Adakah saya perlu mengganti dan membayar sahaja denda fidyah selama 15 hari (tempoh masa haid seorang wanita) atau saya boleh menggunakan anggaran saya sendiri agar tidak membebankan diri?

Saya minta maaf kerana bertanya soalan yang sangat banyak. Harap Tuan boleh membantu saya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 

1) Menggantikan puasa Ramadhan merupakan kewajipan bagi mereka yang meninggalkannya sama ada ditinggalkan secara sengaja atau kerana keuzuran. Di samping itu, tidak terdapat pengkhususan penentuan tahun yang ditinggalkan untuk didahulukan. Justeru, puan dibenarkan untuk menggantikan puasa pada tahun-tahun yang telah puan tinggalkan selagimana ia belum digantikan. Selain itu, dibolehkan untuk menggantikan puasa pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa selagi tidak memasuki bulan Ramadhan.

2) Cara berniat bagi menggantikan puasa yang ditinggalkan adalah lafaz niat puasa ganti pula hendaklah ditukarkan lafaz أَدَاءِ (tunai) dengan lafaz قَضَاءِ (ganti). Oleh yang demikian, lafaz niat bagi puasa ganti ialah seperti berikut:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ لِلَّه تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku berpuasa esok hari bagi qada (menggantikan) fardu puasa bulan Ramadan kerana Allah SWT.

Adapun cara yang terbaik untuk membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan disarankan untuk puan merujuk kepada badan-badan berautoriti yang menguruskan bayaran fidyah di portal website mereka seperti Lembaga Zakat ataupun Majlis Agama Islam  mengikut negeri-negeri yang puan menetap atau tempat bekerja. 

3) Di negeri Selangor umpamanya, pembayar fidyah boleh memilih antara membuat bayaran secara berganda atau tidak berganda berdasarkan kepada kemampuan sekiranya puasa tidak diganti sehingga datang bulan Ramadhan yang baru.   

4) Di dalam situasi yang tidak pasti bilangan hari puasa yang ditinggalkan, maka puan perlu mengira atau membuat anggaran yang pasti bilangan puasa yang ditinggalkan tersebut. Begitu juga, bayaran fidyah adalah mengikut bilangan tahun dan hari puasa Ramadhan yang ditinggalakan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image