Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanyakan dua soalan.
1. Yang pertama tentang pseudo-salafi. Saya ada membaca artikel bahawa golongan pseudo-salafi ini adalah golongan yang tidak betul-betul mengamalkan manhaj salafiyah tapi berpura-pura mengamalkan manhaj salafiyah. Hakikatnya, mereka hanya mengambil hukum tertentu yang mereka mahu amalkan dan meninggalkan apa yang mereka tidak mahu amalkan. Saya maklum bahawa golongan salafi juga merupakan ASWJ, tapi bagaimana pula dengan mereka yang pseudo-salafi?
2. Soalan kedua, terdapat beberapa perbezaan Manhaj Salafiyah dan ASWJ, namun golongan salafi masih termasuk dalam ASWJ kerana mereka tetap berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah. Soalan saya, adakah boleh pengikut Manhaj Salafiyah berkahwin dengan pengikut ASWJ jika mereka mampu saling menghormati pegangan masing-masing, atau ada keterbatasan dan tidak digalakkan?
Maaf sekiranya ada kenyataan saya yang tidak tepat. Mohon pencerahan.
Jawapan
Sebelum menjawab soalan yang diajukan, perlu difahami maksud salafi dan pseudo-salafi pada konteks zaman sekarang. Salafi pada zaman sekarang sebenarnya adalah pseudo salafi itu sendiri. Ini kerana salafi pada zaman sekarang pada hakikatnya bukanlah mengikut manhaj salaf (salafussoleh) yang sebenar melainkan memilih pandangan dan imam tertentu. Bahkan salafi sekarang banyak menyalahi fahaman salaf yang sebenar. Salaf (salafussoleh) yang sebenar adalah generasi awal Islam iaitu para sahabat Nabi SAW, para tabi’in dan tabi’ al-tabi’in dan para Imam yang mewarisi ilmu dan pendidikan dari generasi awal tersebut.
Golongan ini hidup pada tiga kurun pertama Islam (300 tahun awal perkembangan Islam) dan disifatkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai manusia yang terbaik berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik manusia adalah mereka yang hidup pada kurunku (para Sahabat), kemudian mereka yang hidup selepas mereka (para tabi’in), kemudian mereka yang hidup selepas mereka (tabi’ tabi’in), kemudian akan datang kaum-kaum (generasi) yang mendahului penyaksian salah seorang dari mereka ke atas sumpah seorang yang lain, dan mendahului sumpah salah seorang dari mereka ke atas penyaksian seorang yang lain (banyak berlaku penyaksian palsu dan kurang mengambil berat soal agama).
(Riwayat al-Bukhari)
Kemudian, berdasarkan kepada manhaj (metodologi) yang telah dibina dan diamalkan oleh generasi salaf, generasi khalaf pula menyambung dan menyusunnya sebagai satu metodologi yang lebih jelas. Oleh itu, baik generasi salaf mahupun khalaf yang berpegang dengan manhaj Ahli Sunnah Waljamaah, maka mereka adalah Ahli Sunnah Waljamaah.
Manakala pada konteks zaman sekarang, Ahli Sunnah Waljamaah merujuk kepada al-Asyairah dan al-Maturidiyyah. Penisbahan al-Asyairah dan al-Maturidiyyah kepada Ahli Sunnah Waljamaah hanyalah sekadar penisbahan sahaja. Ini kerana al-Asyairah iaitu Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan al-Maturidiyyah iaitu Abu Mansur al-Maturidi adalah individu mahupun golongan yang telah menyusun manhaj Ahli Sunnah Waljamaah dengan lebih sistematik dan jelas berdasarkan kepada generasi salafussoleh. Justeru itu, mana-mana golongan atau indvidu yang mempunyai sama fikrah dan manhaj dengan al-Asyairah dan al-Maturidiyyah, maka meraka adalah Ahli Sunnah Waljamaah walaupun berbeza cara pendekatan atau silibus pembelajaran.
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Golongan salafi pada zaman sekarang dan pseudo salafi adalah golongan yang sama. Terdapat beberapa buah negeri yang telah memfatwakan bahawa golongan ini bukan daripada Ahli Sunnah Waljamaah seperti di negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah. Manakala negeri-negeri lain belum memberikan apa-apa ketetapan berhubung perkara tersebut.
2. Sah pernikahan antara pasangan Ahli Sunnah Waljamaah dengan golongan salafi. Ini kerana, mereka mereka masih dianggap sebagai beragama Islam.
Sekian, terima kasih.