BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Untuk makluman pihak tuan, saya berasal dari negeri kelantan dan suami berasal dari kuantan, pahang, kami merupakan pasangan PJJ yg berjauhan lebih dari 3 tahun bermula pada 2021. Buat masa sekarang saya bekerja serta bermukim di selangor dan suami pula bekerja serta bermukim di bentong, pahang. Kami masih dalam perbincangan dan belum ada keputusan untuk menetap di mana kerana pekerjaan suami berkemungkinan perlu berpindah-pindah selepas tempoh khidmat yang tertentu.

Persoalan pertama, pada hujung minggu kebiasaannya suami akan bertolak dari bentong, pahang pada hari jumaat ke kediaman di selangor dan pulang semula ke bentong, pahang pada hari isnin. Adakah dibolehkan suami untuk solat jamak dan qasar sepanjang suami berada di kediaman kami di selangor.

Persoalan kedua, adakah boleh untuk saya solat jamak dan qasar ketika berada di kediaman suami di bentong walaupun saya hanya ke bentong apabila ada keperluan (2 / 3bulan sekali) memandangkan suami yang kebiasaannya pulang ke selangor.

Persoalan ketiga, semasa saya dalam perjalanan untuk bermusafir balik ke kuantan, pahang / kelantan. Saya akan singgah di kediaman suami di bentong untuk ambil suami dan meneruskan perjalanan. Adakah dibolehkan jika saya solat jamak dan qasar ketika singgah di kediaman suami atau saya perlu keluar dari mukim kediaman suami untuk menunaikan solat jamak dan qasar.

Mohon bantuan pencerahan dari pihak tuan atas masalah kekeliruan situasi yang berlaku pada saya dan suami. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berkenaan isu solat jamak qasar, perlu difahami beberapa istilah berkaitan seperti berikut:

Mastautin: Seseorang yang bermastautin merujuk kepada mereka yang tinggal menetap di suatu tempat dan tidak berhasrat untuk berpindah ke tempat lain.

Musafir: Seseorang yang bermusafir adalah mereka yang tinggal di suatu tempat tidak melebihi 3 hari tidak termasuk hari tiba dan hari pulang serta jarak diantara tempat tersebut dengan tempat tinggal adalah melebihi 81KM.

Mukim: Seseorang yang bermukim adalah merujuk kepada mereka yang tinggal di suatu tempat melebihi tempoh musafir. 

Berdasarkan kepada persoalan, rumah di Selangor merupakan tempat bermukim bagi puan tetapi bukan tempat bermukim bagi suami. Jadi, suami puan boleh menunaikan solat secara jamak qasar jika tempoh tinggal di situ tidak melebihi 3 hari tidak termasuk hari tiba dan hari pulang. Begitu juga Bentong merupakan tempat bermukim suami sahaja, jadi puan boleh solat jamak qasar apabila pergi ke rumah suami (tempat mukim suami). Perkara ini berikutan puan dan suami masih belum berniat untuk menetap secara tetap di Selangor atau Bentong. Manakala semasa perjalanan pulang musafir ke Kelantan atau Kuantang, puan boleh solat jamak qasar ketika singgah di rumah suami puan di Bentong. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 27

message user image