Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. saya nak tanya apa hukum menggunakan duit claim insurans yang dapat daripada pihak insurans sebanyak dua kali? sebagai contoh, pada tarikh 01/01/2025 tuntutan claim ada diserahkan kepada pihak insurans tetapi tersilap submit 2 kali tuntutan. Sebagai langkah, saya sudah email pada mereka untuk cancelkan 1 tuntutan tetapi balasan email dari mereka hanya nyatakan bahawa tuntutan itu tiada dalam servis mereka. Jadi saya berfikir bahawa memang sudah tiada apa apa isu. Tetapi sekarang dapat dua kali duit tuntutan. Adakah haram bagi saya menggunakan duit lebihan claim yang ditransferkan kepada saya?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pertama sekali perlu dijelaskan bahawa insurans konvensional telah dihukumkan sebagai haram kerana urusniaga yang dijalankan di dalam insurans konvensional adalah tidak mematuhi syarak. Kesan daripada itu, jika ada lebihan wang tuntutan insurans konvensional setelah membayar segala bil-bil perubatan, ubat-ubatan dan segala keperluan lain, wang lebihan itu termasuk di dalam harta tidak patuh syariah dan ia perlu diserahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor atau mana-mana Majlis Agama untuk digunakan kepada maslahah umum yang memberi manfaat kepada orang ramai.
Bagi situasi wang tuntutan tersilap terima, secara umumnya seorang muslim diharamkan untuk mengambil atau menggunakan sesuatu yang bukan menjadi hak miliknya berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
Sekiranya memang berlaku kesilapan dan anda telah memaklumkan kepada pihak berkaitan wang tersebut wajib dipulangkan kerana ia bukan milik anda yang sah.
Sekian, terima kasih.