BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya seorang perempuan berumur 26 tahun. Dulu, saya banyak tinggal solat. Sekarang saya berazam untuk ganti semula semua solat2 yang saya pernah tinggal. Saya juga pesakit buah pinggang tahap 5 yang perlukan rawatan dialisis air (4 kali sehari) sari rumah. Oleh itu, saya buat keputusan untuk qada semua solat (17 rakaat) setiap kali lepas solat Fardhu Subuh. Soalan saya yg pertama, adakah tindakan ini dibolehkan?

Satu lagi masalah saya ialah, saya juga kadang2 ada masalah keputihan. Saya ada terbaca jika ada keputihan, wudhu hanya sah untuk satu solat fardhu dan beberapa solat sunat saja. Jadi sebenarnya saya nak tahu, waktu saya ada masalah keputihan ni, bolehkah saya qada semua solat2 (17 rakaat) setiap kali lepas subuh, seperti yang saya tanyakan utk soalan 1?


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Tindakan puan untuk menggantikan solat yang pernah ditinggalkan adalah satu usaha yang sangat terpuji dan menunjukkan kesungguhan dalam bertaubat kepada Allah SWT. Dalam Islam, qada solat wajib dilakukan bagi mereka yang pernah meninggalkannya dengan sengaja atau terlupa. Berhubung kaedah yang dipilih iaitu mengqada semua solat yang tertinggal (17 rakaat) sekaligus selepas solat Subuh, hukumnya dibolehkan jika puan mampu melakukannya tanpa mendatangkan kesulitan. Namun, adalah lebih baik jika solat qada dilakukan secara bertahap sepanjang hari, seperti selepas setiap solat fardu atau pada waktu yang lebih sesuai. Tambahan pula, disunatkan bagi seseorang untuk menqada solat-solat yang ditinggalkan secara tertib iaitu menqada solat subuh kemudian solat zohor, atau solat zohor kemudian solat asar dan seterusnya.

Bagi masalah keputihan yang puan alami, dalam mazhab Shafi'i, keputihan yang keluar dari faraj dianggap sebagai najis dan boleh membatalkan wudhu. Oleh itu, wudhu yang diambil hanya sah untuk satu solat fardu dan beberapa solat sunat sahaja. Jika keputihan keluar secara berterusan tanpa kawalan, maka hukum yang boleh diaplikasikan adalah seperti wanita yang mengalami istihadah iaitu perlu membersihkan diri, memakai pelindung (seperti pantyliner), dan mengambil wudhu baharu sebelum menunaikan setiap solat fardu. Berdasarkan kaedah ini, jika puan ingin mengqada solat dalam jumlah yang banyak secara berturut-turut ketika datangnya masalah keputihan ini, maka wuduk perlu diperbaharui bagi setiap solat fardu yang diqada.

Sekiranya keadaan ini menyukarkan puan, ada baiknya untuk mengatur semula jadual qada solat supaya tidak terlalu membebankan diri, contohnya dengan membahagikan solat qada sepanjang hari mengikut waktu lapang. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan puan serta memberikan kesembuhan, dan menerima amal ibadah dalam memperbaiki hubungan dengan-Nya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image