BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wrt. Di Perak, daerah Batang Padang ada masalah gangguan air yang teruk. Ramai yang datang ke stesen minyak untuk mengambil bekalan air dengan mengisi di dalam tong dan dibawa balik ke rumah. Adakah mereka perlu mendapatkan keizinan dari stesen minyak? Apakah hukum jika mengambil air tanpa kebenaran stesen minyak tersebut kerana stesen minyak menyediakan air untuk kegunaan pelanggan di stesen. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan daripada Amru bin Yathribi, Nabi S.A.W bersabda:

 وَلَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ مِنْ مَالِ أَخِيهِ إِلَّا مَا طَابَتْ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya: Tidak halal harta seseorang saudaranya melainkan dengan keizinan daripada pemiliknya sendiri. (Riwayat Imam Ahmad)

Stesen minyak bukan harta awam dan ia ada pemiliknya. Secara adatnya, air yang disediakan stesen minyak memadai untuk keperluan solat (sekiranya ada surau) dan membuang hajat (tandas). Sekiranya ada keperluan yang mendesak sebagaimana kes ketiadaan air yang menjejaskan penggunaan isi rumah, maka ia perlu kepada keizinan tuan pemilik stesen minyak tersebut. Ini kerana air tersebut perlu dibayar kepada syarikat air dan ia akan merugikan pemilik syarikat. Melainkan pemilik stesen ingin berinfak dan memberi kebenaran untuk mengambil air tersebut.

Oleh itu, orang yang telah pun mengambil air berlebihan tanpa keizinan pemilik stesen minyak, perlu berjumpa dan memaklumkan kepada pemilik dan sekiranya perlu membayar sejumlah duit, maka ia wajib membayarnya. Semoga Allah SWT mengampunkan kesilapan yang dilakukan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image