BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Tuan Mufti,

Saya ingin bertanya berkenaan solat sunat tarawih dan membaca Al-Qur'an pada bulan Ramadan:

  1. Saya difahamkan bahawa solat sunat, termasuk tarawih, boleh dilakukan di rumah. Namun, pada Ramadan yang lepas, seorang jemaah menegur saya selepas solat Isyak apabila saya memilih untuk pulang dan melakukan tarawih di rumah. Beliau menyebut bahawa solat berjemaah lebih besar ganjarannya, iaitu 25 kali ganda. Adakah ganjaran ini hanya terpakai untuk solat fardu, atau ia juga merangkumi solat sunat seperti tarawih?

  2. Sebagai makluman, saya pulang untuk melakukan solat tarawih di rumah kerana saya ingin menyelesaikan bacaan Al-Qur'an sebanyak dua kali pada bulan Ramadan. Kebiasaannya, saya khatam Al-Qur'an setiap bulan berdasarkan kalendar hijrah. Pada bulan Ramadan, saya ingin menambah bacaan Al-Qur'an semasa solat tarawih dengan memegang telefon bimbit saya yang telah dimasukkan ke dalam mod penerbangan bagi mengelakkan gangguan.

Adakah tindakan saya ini menepati adab solat dan memenuhi keutamaan bulan Ramadan?

Sekian, terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بسبع وعشرين درجة

Maksudnya: Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda ganjaran. (Riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat lain yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, sabda Nabi SAW:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بِخَمْسٍ وَعِشْرِينَ درجة

Maksudnya: Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian dengan 25 kali ganda ganjaran. (Riwayat al-Bukhari)

Secara asasnya, hadis ini adalah umum menunjukkan mana-mana solat yang dilaksanakan secara berjemaah adalah lebih baik daripada solat bersendirian terutamanya solat fardu. Walapun begitu, solat sunat ada yang sunat dilaksanakan secara bersendirian seperti solat sunat rawatib. Manakala bagi solat sunat tarawih, melakukannya secara berjemaah adalah sunat. (Mughni al-Muhtaj)

Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan Aisyah RA katanya:

 ‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ ‏‏ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ‏ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Lalu orang ramai pun solat bersama baginda SAW. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah  semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah SAW. Akan tetapi baginda SAW tidak keluar solat bersama mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda SAW bersabda kepada para jemaah : Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardukan ke atas kamu semua. Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadhan. (Riwayat al-Bukhari)

Kata Al-Syeikh Al-Buhuti Rahimahullah di dalam kitabnya Daqaiq Uli Al-Nuha: Menunaikan solat tarawih di masjid itu lebih afdhal berbanding selainnya. Kerana baginda S.A.W menunaikannya bersama orang ramai selama tiga hari berturut-turut. Ia sepertimana yang diriwayatkan oleh A’isyah R.anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam bersama imam sehingga dia selesai, akan dituliskan ganjaran untuknya qiyam sepanjang malam. (Riwayat Ibn Majah)

Hukum menunaikan solat tarawih secara bersendirian adalah dibolehkan, dan yang paling afdhal adalah menunaikannya secara berjemaah. Beberapa perkara boleh diambil perhatian seperti berikut:

  • Bagi yang menghadirkan diri ke masjid untuk menunaikan solat isya’ secara berjemaah. Alangkah lebih baik untuk dirinya kekal di masjid dan meneruskan solat tarawih secara berjamaah.
  • Solat tarawih secara berjemaah merupakan satu syiar agama Islam. Kerana itu ia disifatkan menyamai solat hari raya.
  • Sesiapa yang merasakan kualiti solat tarawihnya semasa bersendirian jauh lebih baik berbanding kualiti solat semasa berjamaah, maka dia boleh untuk solat sendirian. Jika sebaliknya, maka berjamaah itu lebih afdhal.
  • Solat tarawih secara berjamaah di masjid itu lebih kuat dalam mengeratkan silaturahim dan kerukunan dalam kalangan masyarakat berbanding solat secara bersendirian. Hubungan baik dapat dibina apabila hadir solat bersama, saling beramah mesra, bertanya khabar, dan seumpamanya.
  • Cukuplah arahan Saidina Umar Al-Khattab kepada para sahabat di zamannya untuk dilakukan solat tarawih secara berjamaah menunjukkan yang ia suatu yang lebih baik berbanding solat secara bersendirian.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 31

message user image