Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya berkerja di putrajaya bolehkah saya jamak qasar jika saya pulang ke kg , jika saya berniat akan pulang dan mendirikan rumah di daerah yang sama suatu hari nanti dengan kampung halaman saya tapi belum tahu bila masanya.
dan bolehkah saya jamak qasar di rumah isteri saya di melaka jika saya hanya pergi rumah isteri saya hanya 2 hari dan pulang semula ke tempat saya bermukim. tanpa niat untuk tinggal bermukim di rumah isteri saya. sekian
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Dalam situasi pertama, jika tuan bekerja di Putrajaya dan pulang ke kampung halaman maka hukum jamak dan qasar bergantung kepada status jarak kampung tersebut. Jika kampung itu adalah tempat asal (watan asli) dan tuan mempunyai niat yang pasti untuk kembali dan menetap di sana pada masa hadapan tetapi belum menentukan tarikhnya maka apabila pulang ke kampung, tuan tidak dikira sebagai musafir. Oleh itu, tuan tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar kerana kampung tersebut masih dianggap sebagai tempat mastautin. Namun, jika kampung itu bukan tempat asal dan tuan hanya pulang untuk sementara tanpa niat menetap secara tetap, maka tuan boleh mengambil rukhsah solat musafir dengan syarat jarak perjalanan mencapai dua marhalah iaitu 81 km.
Bagi situasi kedua, apabila tuan pergi ke rumah isteri di Melaka selama dua hari tanpa niat bermukim di sana, tuan masih dianggap sebagai musafir kerana tempoh tinggal kurang daripada tiga hari (tidak termasuk hari pergi dan pulang). Dalam keadaan ini, tuan boleh melakukan solat jamak dan qasar sepanjang tempoh berada di rumah isteri. Namun, jika tuan berniat untuk menetap di sana secara tetap atau melebihi tiga hari maka hukum musafir tidak lagi terpakai dan solat perlu dilakukan seperti biasa tanpa jamak dan qasar.
Sekian, terima kasih.