Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Soalan ini ditanya pada 2025. Ketika 2018, semasa saya belajar di universiti, saya berkongsi makmal dengan pelajar lain termasuk non-muslim.
Pada satu hari, saya ingin membantu mencuci peralatan makmal yang digunakan oleh kawan non-muslim saya. Ketika itu, saya tidak tahu bahawa dia menggunakan bahan yang mengandungi babi. Tiba-tiba sahaja dia melarang saya menyentuh dan memaklumkan bahawa dia menggunakan babi. Ketika dia melarang, saya sedang memegang peralatan tersebut. Peralatan tersebut di dalam sinki dan basah tetapi saya tidak pasti bahawa air yang terkena tangan saya itu merupakan air paip dari sinki atau babi. Saya tidak dapat ingat keadaan tangan saya sama ada kering atau basah sebelum memegang peralatan yang basah itu. Saya juga tidak ingat apakah tindakan yang saya lakukan sebaik sahaja saya tahu peralatan tersebut mengandungi babi. Cuma, saya tidak samak kerana berfikiran saya tidak tahu ketika itu.
Saya juga tidak ingat sama ada saya ada menggunakan sinki tersebut atau tidak pada hari-hari berikutnya.
Jadi, bagaimanakah dengan solat saya selama ini? Adakah sah atau perlu diganti? Bagaimana pula dengan barang-barang atau pakaian atau apa-apa yang saya sentuh selama ini? Saya tiba-tiba teringat kejadian ini dan berasa gelisah lebih-lebih lagi saya hendak menunaikan haji. Jadi, apakah yang perlu lakukan sekarang? Mohon pencerahan dan terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sesuatu perkara dihukumkan bergantung kepada kewujudan illahnya (penyebab untuk dihukumkan). Hal ini berdasarkan kepada kaedah fiqh iaitu:
Maksudnya: Sesuatu hukum itu bergantung kepada ada atau tidak illahnya.
Oleh itu, perlu difahami bahawa kejadian yang telah lama berlaku dan tidak meninggalkan kesan yang masih dapat dilihat, dirasa atau bau tidak menjadikan sesuatu itu selamanya bernajis. Justeru, solat yang dilaksanakan adalah sah dan tidak perlu diqada’. Disarankan untuk sentiasa berta’awuz bagi menghilangkan perasaan was was dan memohon kepada Allah SWT agar diberikan ketenangan hati serta dipermudahkan urusan haji akan datang.
Sekian, terima kasih.