Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Mohon penjelasan maksud shiqaq (perselisihan).
1) Adakah seorang isteri yang melanggar hukum Syarak dan melawan suami apabila ditegur (berserta dalil-dalil yang sahih dan jelas) boleh menuntut berlakunya shiqaq?
2) Apakah hukum seorang suami menegur isterinya yang melanggar hukum Syarak?
3) Apakah hukum seorang suami yang tidak menegur isterinya yang melanggar hukum Syarak?
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Dalam konteks perkahwinan, shiqaq merujuk kepada perselisihan yang berpanjangan dan sukar didamaikan antara suami dan isteri sehingga menjejaskan keharmonian rumah tangga. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat ke-35:
Maksudnya: Dan jika kamu bimbang berlaku shiqaq antara keduanya (suami isteri), maka lantiklah seorang hakam (pendamai) dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan. Jika kedua-duanya mahu berdamai, nescaya Allah akan mendatangkan persefahaman di antara mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.
Berdasarkan kepada persoalan, jika seseorang isteri melanggar hukum syarak dan menolak teguran suami berdasarkan dalil yang jelas, maka dia dihukumkan nusyuz (derhaka). Maka dalam hal ini, si suami wajib menegur isterinya yang melakukan maksiat kerana ia adalah tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah SWT. Jika suami tidak menegur, maka dia dianggap dayus dan berdosa besar. Namun begitu, seseorang isteri masih boleh menuntut shiqaq di mahkamah tetapi tuntutan tersebut akan dinilai oleh hakim sama ada ianya berasas atau hanya alasan untuk mengelak tanggungjawab syarak. Oleh itu, dinasihatkan agar tuan mendapatkan penjelasan daripada pihak Mahkamah Syariah yang berdekatan berhubung isu ini, sebagai pihak yang berbidangkuasa di dalam memutuskan perkara berkaitan pernikahan dan penceraian.
Sekian, terima kasih.