BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya nak tanya. Dulu saya mengaku saya jahil sikit bab agama, saya tak pernah dalami sangat agama, setakat apa yang saya belajar di sekolah saja. Waktu saya umur 13-18, saya bayak tinggal solat. Sebab utama sebab saya malas dan dulu kadang saya ada mindset yang nanti saya qada lah solat yang saya tinggal. Saya tahu tinggal solat tu dosa tapi saya buat juga. Tapi saya jadi risau, lepas saya dengar ceramah yang kata sebenarnya salat qadha ni asalnya hanya dibenarkan untuk mereka yang terlepas solat secara memang tak sengaja(macam tertidur dsb). Saya juga tahu ada pendapat yang mengatakan kalau dah tinggal solat dengan sengaja tak perlu qadha cukup dengan bertaubat saja namun untuk mazhab Shafi'i wajib qadha solat yang sengaja tinggal. Jadi soalan saya, adakah perbuatan saya sebelum ni boleh jadikan saya kafir? Saya tahu ada ulama yang mengatakan tinggal solat dengan sengaja dianggap sebagai kufur namun kufur nikmat, namun bagaimana pula dengan mindset saya yang fikir saya nak qadha solat di kemudian waktu saja?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Solat merupakan salah satu rukun Islam yang penting, malah ia merupakan tiang agama. Justeru, haram meninggalkan solat dalam apa juga keadaan bagi seseorang yang mukallaf iaitu bagi mereka yang telah baligh dan berakal. Oleh itu, setiap  muslim wajib melakukan solat secara sempurna dengan memenuhi rukun dan syaratnya. Tambahan pula, agama Islam amat menitik beratkan soal solat, hal Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Buraidah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: Batasan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir. (Riwayat  Ahmad)

Jika kita pernah terlalai daripada menunaikan solat fardhu, maka wajib bagi kita mengqada'kan solat-solat fardu itu semampu kita kerana ia dikira hutang dengan Allah SWT yang wajib kita tunaikan. Hal ini sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hal ini, menyegerakan qada' solat fardhu adalah menjadi keutamaan bagi saudari kerana menurut mazhab Shafi'i, sesuatu solat yang ditinggalkan perlu segera diqada'kan terutamanya jika ia ditinggalkan secara sengaja tanpa sebarang uzur syarie. Meninggalkan solat dengan sengaja adalah dosa besar tetapi ia tidak menyebabkan seseorang menjadi kafir selagi dia masih mengakui kewajipan solat dan tidak menafikannya. Perkara ini jelas berbeza dengan keadaan orang yang benar-benar menolak kewajipan solat, kerana menolak salah satu rukun Islam dengan penuh kesedaran yang boleh membawa kepada kekufuran. Oleh itu dalam kes saudari, kesalahan ini lebih kepada dosa besar yang memerlukan taubat nasuha dan menggantikan solat yang ditinggalkan sebagaimana pandangan mazhab Shafi'i.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image