Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya nak bertanya :
1) Suatu masa dulu, saya punya seluar pernah kena gigit dengan anjing dan mulut anjing itu kering atau air liurnya tidak jelas pada seluar saya, dan saya yakin yang kulit saya tidak terkena, persoalan saya adalah, adakah saya perlu sertu bahagian badan saya apabila saya yakin tidak terkena dengan air liurnya kerana mulutnya kering, dan kalau perlu adakah saya perlu menyertainya sekarang kerana benda itu telah lama berlalu.
2) In Ada sebuah produk dari MyPapillon yang menjual debu tanah liat di Shoppe, adakah produk itu sahih dan boleh digunakan untuk sertu, tayamum dan samak. Mereka juga menjual sabun tanah liat adakah itu juga boleh digunakan untuk sertu seperti yang dinyatakan oleh mereka.
Mohon penjelasan, terima kasih
Jawapan
1) Kaedah Fiqh menyebutkan:
Maksudnya : “Asal bagi satu hukum adalah mengekalkan dia sepertimana hukum sebelumnya.”
Berdasarkan kaedah ini, apabila tiada bukti yang yang jelas bahkan yakin bahawa tangan tidak terkena najis, maka tidak perlu disertu anggota tersebut.
Adapun najis yang wujud pada seluar perlu disertu walaupun tidak nampak ain najis kerana secara kebiasaanya, gigitan anjing itu terdapat air liur yang sedikit ataupun banyak. Bahkan, menurut Imam al Nawawi dalam Al-Minhaj menyatakan bahawa setiap inci bagi seekor anjing itu adalah dikira sebagai najis:
Maksudnya; “Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami antara jilatan anjing dengan selainnya; daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah.
Walau bagaimana pun, kejadian itu berlaku pada masa yang lalu, jika sudah tidak ada kesan najis tersebut (contohnya, pakaian sudah lama dibasuh dengan cara biasa dan tidak digunakan lagi), maka tidak perlu sertu kerana najis tidak lagi wujud secara zahir. Islam tidak membebankan sesuatu yang sudah berlalu dan tidak dapat dipastikan keberadaannya lagi. Kaedah Fiqh menyebut:
Maksudnya: "Kesukaran membawa kepada kemudahan."
2) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 telah memutuskan bahawa sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.
Sekian. terima kasih.