BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t.

 

Suami dan saya telah bergaduh berkaitan keadaan suami yang pernah curang dengan isteri orang pada tahun 2009 hingga 2012 namun enggan mengaku  dan mengatakan saya menuduh beliau yang bukan-bukan kerana tidak dapat dibuktikan sepanjang  tahun 2009 hingga 2012 .   

Pada Julai 2024, sekali lagi kami bergaduh kerana suami terlalu akrab dengan rakan-rakan perempuan di pejabat sehingga sanggup menipu saya untuk membuat aktiviti bersama rakan-rakan perempuannya pada cuti hujung minggu. Beliau menyatakan beliau menipu untuk menjaga hati saya agar saya dapat mempercayai beliau berikutan kes beliau yang lalu dan risau saya tidak membenarkan beliau pergi bersama-sama kawan beliau.

Apabila mengetahui hal ini, saya membangkitkan semula hal beliau curang pada tahun 2012 dan mendesak suami saya untuk melafazkan taklik, bahawa jatuh talak ke atas saya sekiranya benar beliau curang pada waktu yang lalu dan suami telah melafazkan lafaz taklik berbunyi '' Kalau abang ada apa-apa hubungan dengan XXX, maka jatuh talak satu ke atas sayang''.  Setelah itu kami berbaik semula dan hidup sebagai suami isteri  seperti biasa.

Baru-baru ini, Januari 2025, ketika bertengkar  dengan suami, beliau mengakui hubungan beliau dengan XXX yang ketika itu isteri orang sehingga terlanjur dalam tempoh  hubungan mereka.  Saya mengingatkan suami akan lafaz taklik yang pernah dibuat pada tahun 2024.   Namun begitu, beliau menjelaskan ketika  beliau melafazkan taklik ada tambahan pada niatnya iaitu "Kalau ada apa-apa hubungan dengan XXX (sekarang), maka jatuh talak satu ke atas sayang''.  

Saya ingin  mendapatkan kepastian, adakah jatuh talak ke atas  taklik yang dibuat pada tahun 2024 dan bagaimanakah status saya ketika ini.

Saya juga ingin memohon pandangan, adakah wajar saya meneruskan perkahwinan  jika talak tidak jatuh; dengan suami yang pernah berzina dengan isteri orang walaupun beliau berkata beliau telah bertaubat.

Jika talak telah jatuh, adakah wajar tindakan saya untuk menikahi semula suami saya apabila mengingati hukuman zina seperti ini adalah rejam sampai mati dalam Islam.

Usia perkahwinan kami ketika ini telah pun berusia 21 tahun.  Dari segi nafkah, memang terdapat kekurangan malah rumah yang didiami kami, saya yang membayarnya sepanjang perkahwinan.  Saya sangat sedih dan buntu ketika ini kerana sangat menyayangi suami dan keluarga yang dibina.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan puan, lafaz taklik adalah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya perlanggaran terhadap apa yang disyaratkan itu.Taklik juga bermaksud menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Kalau abang ada apa-apa hubungan dengan XXX, maka jatuh talak satu ke atas sayang.” atau sebagainya. Sekiranya berlaku perlanggaran pada syarat taklik tersebut maka boleh membawa berlakunya perceraian.

Walau bagaimanapun, di dalam menentukan sama ada talak itu jatuh atau tidak, ia adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, apatah lagi bila timbul pertikaian dari sudut kenyataan suami puan yang menyatakan bahawa ketika dia melafazkan taklik tersebut dia berniat waktu sekarang bukan kes yang lalu, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.

Berkaitan samada wajar atau tidak puan meneruskan rumahtangga bersama suami puan, ia tergantung kepada keputusan dan penilaian puan yang telah hidup bersama selama 21 tahun. Asas utama penilaian adalah sejauhmana rumahtangga yang terbina itu mampu mencapai matlamatnya iaitu mawaddah war rahmah. Rumahtangga yang bahagia, tenteram dan suami isteri yang mampu berperanan dengan peranan masing-masing sebagaimana yang ditetapkan oleh syara. Rumahtangga yang mampu mendekatkan pasangan dan anak-anak kepada Allah SWT.

Banyakkan lah berdoa kepada Allah SWT serta bertawakkal kepada Allah, semoga Allah SWT mengurniakan keberkatan dan panduan dari-Nya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 25

message user image