Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,puan...
Disini saya ingin meminta pendapat berkenaan suami saya yang selalu mahukan saya selalu sempurna dari segala segi apa pun...
selalu memperlekehkan saya didepan anak-anak nya iaitu anak tiri saya.
dia juga selalu bercakap kepada saya isu-isu bagi saya terlalu remeh untuk saya terima seperi cawan air yang saya letak diatas meja,tudung saya yang tidak sangkut dan berkara yang saya rasa boleh menasihati saya dengan cara yang baik tapi dia memilih berkata kasar kepada saya.saya berkahwin pada tahun 12/9,2020.
dia selalu menguji mental saya dan sekarang saya rasa terlalu benci kepadanya kerana tidak pernah ingin memahami saya sebagai seharusnya suami memberi ketenangan dan kedamaian kepada isteri dan saya tidak mendapat merasai keadaan itu.
suami saya ingin merasakan dia merasa betul dalam segala segi kerana umur nya jauh berbeza dengan saya.suami saya berumur 54 tahun dan saya berumur 29 tahun pada tahun ini...saya menerimanya kerana saya mengharapkan suami yang matang dan boleh menasihati saya kerana saya tidak pernah merasai susuk seorang ayah sejak dari kecil...
ibu saya sudah meninggal sejak 2019 yang lalu dan saya merupakan anak sulung dari dua adik beradik.
saya juga sangat menyesali kerana dia tidak mendahulukan saya dari segala perkara dan akhirnya saya rasa apa gunanya saya sebagai seorang isteri andai dia hanya anggap saya tak ubah sebagai seorang anak kecil
suami saya seorang duda dahulunya isterinya meninggal akibat cancer rahim dan mereka memperolehi dua anak lelaki yang berumur 22 tahun dan 20 tahun.
suami saya juga ada satu hobi yang tegar iaitu memancing dan dia selalu mendahulukan trip memancing beliau bersama anak-anak atau kadang dirinya sendiri pergi paling lama 3 hari ke laut mengikuti trip memancing.semua perancangan beliau tidak berbincang kepada saya dan dia mengabaikan waktu berjalan bersama saya dan berkata tiada duit untung membawa saya bercuti.saya merasa segala perkara saya luahkan ini adalah sebahagian dari itu sahaja.saya juga pernah menghadiri kaunseling di pejabat ugama hulu langat dan dia juga ingin menyalahkan saya dari segala segi sehinggakan kaunseling berkata kepada saya dia menyarankan supaya saya boleh pergi ke mahkmah untuk filekan penceraian sekiranya mental saya terlalu kritikal.saya masih memberi peluang kepadanya nya.dan sekarang suami saya ada masalah kewangan dan saya menangung diri saya sendiri dari segala segi dan dia masih mahu pergi memancing tanpa berbincang dengan saya
dia juga lebih mementingkan hartanya seperti berpuluh masin mancing dan barang yang lain bagi saya boleh untuk dia jual kerana dia cakap dia tiada duit untuk memberi apa-apa kepada saya seperti belanja makan dan barangan asas lain...saya juga tidak lah terlalu berkira isu kewangan kerana saya juga mampu tapi saya rasa dipermainkan apa lah guna dalam perkahwinan ini sekiranya dia hanya membuat semua keputusan sendiri dan bersikap mudah panas baran dalam isu kecil.
mohon pendapat.terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pernikahan merupakan suatu tuntutan dari agama Islam bagi mereka yang telah berkemampuan melaksanakannya. Justeru, antara tujuan pernikahan mengikut sunnah Rasulullah SAW, mendapatkan zuriat solehah, memelihara maruah diri, mencari sakinah (ketenangan jiwa), memperoleh rahmah, menghasilkan mawaddah (cinta dan kasih sayang). Berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 21:
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir.
Ayat ini merupakan ungkapan yang lengkap dan sempurna mengenai hakikat hubungan yang diwajibkan oleh Islam, iaitu hubungan insani yang penuh kasih sayang dan dapat disimpulkan bahawa tujuan perkahwinan yang sah serta diredai oleh Allah SWT untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Di samping itu, melayan isteri dengan cara yang baik merupakan suatu perintah daripada Allah SWT sebagaimana di dalam surah al-Nisa' ayat 19:
Bermaksud: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.
Maka, jika tidak tercapai asal tujuan perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam maka tidak bermakna sesuatu perkahwinan tersebut dalam kehidupan berumah tangga. Hal ini kerana di dalam situasi yang puan alami hanya menimbulkan rasa kebencian dan dendam terhadap suami puan disebabkan perlakuan dari suami dan ini tidak seharusnya berlaku antara suami isteri. Justeru, seeloknya puan perlu menyelesaikan konflik yang berlaku dengan sebaiknya dengan beberapa cara yang berhikmah antaranya melalui perbincangan yang mencari titik pertemuan bagi menyelesaikan yang berlaku bersama suami. Sekiranya segala usaha mencari titik pertemuan telah dilakukan namun masih tidak menjumpai jalan persefahaman dengan suami, maka puan boleh mengambil keputusan menarik diri dari meneruskan perkahwinan tersebut setelah berfikir dan menimbang segala aspek kebaikan dan keburukan yang berlaku dengan teliti demi menjaga kemashlahatan pihak puan.
Sekian, terima kasih.